STOCKHOLM: Aktivis alam sekitar, Greta Thunberg mendedahkan menerima layanan kasar ketika berada dalam tahanan Israel selepas diculik bersama ratusan aktivis lain dalam misi Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza minggu lalu.
The Guardian melaporkan, pegawai Kedutaan Sweden yang melawat Thunberg di penjara memberitahu aktivis berusia 22 tahun itu ditempatkan di dalam sel yang dipenuhi pepijat serta tidak diberikan makanan dan air yang mencukupi.
“Beliau mengalami dehidrasi dan ruam pada kulit yang disyaki berpunca daripada gigitan pepijat.
“Thunberg juga mengadu diperlakukan dengan kasar dan terpaksa duduk lama di atas permukaan keras,” menurut e-mel rasmi dihantar Kementerian Luar Sweden kepada kenalan rapat aktivis itu.
Laporan turut menyebut seorang lagi tahanan mendakwa Thunberg dipaksa memegang beberapa bendera ketika gambarnya diambil oleh pihak tentera Israel.
Identiti bendera berkenaan bagaimanapun tidak dapat dikenal pasti.
Dakwaan tersebut turut disokong oleh dua lagi peserta flotila yang dibebaskan pada Sabtu lalu.
“Mereka menyeret Greta Thunberg dengan menarik rambutnya di hadapan kami, memukulnya dan memaksa dia mencium bendera Israel. Ia dilakukan sebagai amaran kepada orang lain,” kata aktivis Turki, Ersin Çelik kepada agensi berita Anadolu.
Seorang lagi peserta, wartawan Lorenzo D’Agostino pula berkata, Thunberg dibalut dengan bendera Israel dan dipertontonkan seperti trofi, sambil menyifatkan tindakan itu sebagai penghinaan terhadap aktivis tersebut.
Thunberg merupakan antara 437 aktivis, ahli Parlimen dan peguam yang menyertai Global Sumud Flotilla, gabungan lebih 40 kapal membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza dalam usaha memecah sekatan Israel yang berkuat kuasa selama 16 tahun.
Semua kapal itu dipintas oleh Angkatan Pertahanan Israel (IDF) antara Khamis dan Jumaat lalu, dan kesemua anak kapal ditahan.
Sebahagian besar daripada mereka ditempatkan di Penjara Ketziot di gurun Negev, iaitu penjara keselamatan tinggi yang kebiasaannya menempatkan tahanan Palestin.










