Angka korban runtuhan sekolah di Indonesia meningkat 37 orang

Angka korban runtuhan sekolah di Indonesia meningkat 37 orang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SIDOARJO: Jumlah korban dalam kejadian runtuhan bangunan sekolah di pulau Jawa, Indonesia, meningkat kepada 37 orang pada Ahad selepas pasukan penyelamat menemui lebih banyak mangsa yang tertimbus di bawah runtuhan.

Sebahagian bangunan bertingkat itu tiba-tiba runtuh pada Isnin lalu ketika para pelajar sedang berkumpul untuk solat Asar.

“Sehingga pagi Ahad, jumlah mangsa yang ditemui ialah 141 orang, 104 selamat dan 37 maut,” kata Pengarah Operasi Agensi Mencari dan Menyelamat Nasional, Yudhi Bramantyo, dalam satu kenyataan.

Beliau menambah, 26 orang masih hilang, manakala angka korban termasuk sebahagian anggota badan manusia yang ditemui pasukan penyelamat pada Sabtu.

Operasi mencari dan menyelamat kini sekitar 60 peratus siap, menurut pegawai Agensi Bencana Nasional (BNPB), Budi Irawan, yang berharap kerja-kerja itu dapat diselesaikan dalam masa terdekat.

“Harapan kami, menjelang esok semua kawasan dapat diratakan dan kami boleh menentukan anggaran sebenar jumlah mangsa yang masih tertimbus,” katanya dalam satu sidang media yang disiarkan secara langsung.

Ketua agensi penyelamat tempatan, Nanang Sigit, turut mengesahkan angka korban terkini sebanyak 37 orang dalam kenyataan berasingan.

Siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian, namun tanda awal menunjukkan kemungkinan wujud kecacatan struktur atau mutu binaan yang lemah, menurut pakar.

Operasi penyelamatan menjadi sukar kerana gegaran di satu kawasan boleh menyebabkan bahagian lain bangunan yang masih berdiri turut runtuh, kata pegawai.

Namun, selepas tempoh 72 jam pertama yang dianggap paling kritikal bagi peluang hidup mangsa berakhir, keluarga mangsa bersetuju supaya jentera berat digunakan bagi mempercepatkan usaha mencari.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×