Hospital Pasir Gudang mula terima kemasukan petugas, peralatan

Hospital Pasir Gudang mula terima kemasukan petugas, peralatan

LING Tian Soon (lima dari kiri) bergambar bersama barisan pentadbiran Hospital Pasir Gudang selepas melawat premis tersebut yang dijangka akan mula beroperasi tahun depan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Hospital Pasir Gudang (HPG) mula menerima kemasukan petugas kesihatan dari pelbagai lokasi yang dihantar Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi mempersiap pengoperasian premis berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Ling Tian Soon berkata, penempatan dan pembahagian tugas sedang dilakukan.

“Walaupun Hospital Pasir Gudang telah mengumumkan penangguhan tarikh pembukaannya, kerja-kerja persiapan tidak pernah terhenti.

“Pelbagai peralatan perubatan dan peralatan bukan perubatan telah mula tiba di hospital, dan pihak hospital sedang sibuk menyusun serta membuat proses pendaftaran,” katanya selepas melawat hospital tersebut, di sini hari ini.

Tambah Tian Soon, pihak hospital juga telah menjalankan operasi percubaan bagi memastikan semua proses dan peralatan berfungsi dengan baik.

“Beberapa jabatan telah menerima kehadiran ‘pesakit’ bagi memainkan senario realiti sebenar apabila hospital ini mula beroperasi kelak, tujuannya adalah untuk pastikan proses dan peralatan dalam keadaan baik.

“Apabila semua lancar, Hospital Pasir Gudang ini akan dibuka sekaligus dapat memberi manfaat kepada penduduk di kawasan setempat,” jelasnya lanjut.

Pada 4 Ogos lalu, Tian Soon memaklumkan pembukaan HPG yang sepatutnya mula beroperasi secara berperingkat sejak 1 Ogos lalu terpaksa ditangguh ke tahun depan susulan beberapa isu teknikal dihadapi

Beliau dilaporkan berkata, antara isu utama adalah kekurangan petugas kesihatan termasuk doktor dan jururawat.

HPG dilengkapi 304 katil dan bakal menempatkan seramai 1,845 penjawatan terdiri daripada doktor, jururawat dan lain-lain. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×