PETALING JAYA: Penurunan harga minyak RON95 sebanyak enam sen bermula September ini belum tentu menjamin harga barangan runcit turut turun.
Bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli berkata, kesan sebenar hanya dapat dilihat selepas beberapa bulan kerana harga barangan dipengaruhi pelbagai faktor dalam rantaian pasaran.
“Adakah harga barang akan turun apabila harga minyak turun enam sen bermula September ini?. Susah nak cakap. Tiada siapa yang tahu.
“Jika harga minyak naik, harga barangan biasanya turut naik serta-merta. Tetapi bila harga minyak turun, belum tentu harga barangan akan mengikut sama,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Rafizi berkata, harga barangan bukan sahaja bergantung kepada kos minyak dan pengeluaran, malah dipengaruhi margin keuntungan, persaingan serta peranan pemborong dan pengilang.
“Kecuali harga diturunkan dari peringkat pengilang, sukar untuk peniaga menurunkan harga. Peniaga membeli daripada pemborong, pemborong pula membeli daripada pembekal pukal atau pengilang,” jelasnya.
Beliau berkata, tanggungjawab mengimbangi kenaikan harga memerlukan kerjasama semua pihak termasuk kerajaan, peniaga dan pengguna.
“Kerajaan perlu memastikan tiada kenaikan mendadak harga barang asas serta menguatkuasakan undang-undang bagi menyekat manipulasi harga.
“Pengguna pula harus bijak memilih nilai terbaik, manakala peniaga tidak wajar mengambil kesempatan dengan menaikkan harga secara melampau,” katanya.
Tambah beliau, isu ketelusan harga perlu diberi perhatian sebagai dasar jangka panjang bagi memastikan pengguna dapat membuat perbandingan dengan lebih adil dan telus.
“Ketelusan harga adalah dasar yang akan saya beri tumpuan selepas ini, supaya Malaysia bergerak lebih cepat menggalakkan amalan harga yang telus dalam ekonomi,” katanya. – UTUSAN










