KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan kejayaan Chen Tang Jie-Toh Ee Wei merangkul gelaran dunia di Paris sebagai hadiah paling bermakna buat rakyat Malaysia sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-68.
Pasangan No. 4 dunia itu mencipta sejarah tersendiri apabila muncul beregu campuran pertama negara menjulang kejuaraan di Kejohanan Badminton Dunia sejak ia mula dipertandingkan pada 1977.
“Hadiah Hari Kebangsaan buat Malaysia. Tahniah kepada pasangan beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei atas pencapaian membanggakan di Kejohanan Badminton Dunia BWF 2025. Terima kasih kerana bekerja keras demi mengharumkan nama negara,” tulis Anwar dalam hantaran di laman X.
Turut berkongsi rasa bangga ialah Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh yang menyifatkan kejayaan itu sebagai salah satu detik terindah dalam lipatan sejarah sukan negara.
“Pingat emas sempena Hari Kemerdekaan bukan sahaja istimewa, malah ia akan terpahat sebagai pencapaian sukan terbaik negara. Anda memang layak meraih kejayaan ini,” kata Hannah menerusi Facebook.
Dalam aksi final penuh bergaya, Tang Jie-Ee Wei tidak memberi ruang kepada gandingan pilihan kedua kejohanan dari China, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin selepas menamatkan perlawanan straight set 21-15, 21-14 hari ini. – UTUSAN