PETALING JAYA: Pelari jarak jauh negara, Wan Muhammad Fazri Wan Zahari mahu menjadikan kejohanan Jelajah Benua Olahraga Dunia di Odisha, India sebagai pentas bersejarah untuk meleburkan rekod kebangsaan 800 meter (m) lelaki.
Rekod 1 minit 47.37 saat (s) milik B. Rajkumar yang dicipta pada Kejohanan Asia 1985 di Jakarta kekal sebagai antara catatan paling lama dalam sejarah olahraga tanah air.
Fazri pernah menghampiri rekod itu selepas merekodkan masa 1:47.64s pada Kejohanan Asia di Korea Selatan, Mei lalu sekali gus menjadi masa kedua terpantas pernah dicatatkan oleh pelari Malaysia.
“Saya hampir berjaya melakukannya di Korea Selatan dan catatan tersebut memberi keyakinan tinggi untuk saya cuba sekali lagi.
“Saya yakin persaingan di India nanti yang membariskan pelari terbaik Asia akan membantu saya memperbaiki masa dan memecahkan rekod tersebut,” kata Fazri.
Anak kelahiran Kelantan berusia 23 tahun itu baru menamatkan pengajian dalam bidang sains sukan di Universiti Malaya (UM) dan turut dinobatkan sebagai Olahragawan 2024 universiti terbabit pada Mei lalu.
Fazri yang dibimbing jurulatih Jironi Ridzuan sejak dua tahun lalu kini memberi tumpuan penuh untuk mencapai misi tersebut.
Dalam pada itu. Jaguh pecut muda negara, Danish Iftikhar Muhammad Roslee bersedia menguji kemampuan di kejohanan tersebut yang bermula hari ini.
Atlet berusia 18 tahun mencuri tumpuan pada Kejohanan Olahraga Siri Super Kuala Lumpur selepas menewaskan jaguh kebangsaan termasuk bekas raja pecut negara, Khairul Hafiz Jantan, akan turun dalam acara 100 meter (m) bersama barisan pelari elit lain.
“Untuk kejuaraan di India ini, Insya-Allah saya cuba buat yang terbaik dan tidak mengharapkan apa-apa sasaran terlalu tinggi, tetapi mahu bersaing dengan pelari antarabangsa dan cari pengalaman.
“Saya akan cuba buat sehabis baik kerana peluang seperti ini bukan selalu datang dan saya mahu gunakan pentas ini untuk uji kemampuan sendiri,” katanya yang kini menuntut di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).-UTUSAN