Mukadimah
Nama Nazmizan Mohamad tidak perlu diperkenalkan kepada peminat olahraga tanah air. Bekas raja pecut Asia Tenggara itu menyaksikan sendiri zaman gemilang, jatuh bangun sistem dan realiti sebenar pembangunan atlet negara.
Dalam temu bual bersama wartawan Mingguan Malaysia, Nazmizan mengupas secara jujur isu prestasi olahraga Malaysia, daripada akar umbi hingga ke pentas Sukan SEA dan masa depan sukan yang pernah menjadi kebanggaan negara.
MINGGUAN: Ramai beranggapan prestasi olahraga Malaysia merosot sejak beberapa dekad lalu. Anda setuju?
Pada pandangan saya, olahraga Malaysia sebenarnya tidak merosot. Kita masih ada atlet-atlet yang bagus dan berpotensi. Cuma yang berlaku ialah peningkatan prestasi negara jiran seperti Thailand, Singapura, Vietnam, Filipina dan Indonesia yang kini berada di hadapan kita. Itu realiti yang perlu kita terima.
Dari sudut kejurulatihan pula, Malaysia mempunyai barisan jurulatih yang berpengalaman. Mungkin apa yang boleh diperhalusi ialah pemilihan atlet ke program pelapis dan elit, yang perlu benar-benar melepasi had kelayakan ditetapkan supaya kualiti sentiasa terjaga.
Program akar umbi sering dipersoalkan. Adakah ia gagal?
Sebenarnya, program akar umbi inilah tunjang kepada atlet elit yang kita ada hari ini. Saya sendiri berterima kasih kepada Majlis Sukan Negara (MSN) melalui program pelapis, ditambah pula peranan Kementerian Pendidikan Malaysia menerusi Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM).
Di situlah lahirnya bakat-bakat muda yang luar biasa. Kita ada contoh atlet perempuan bawah 12 tahun mencatat masa 12.97 saat dalam acara 100 meter. Bila kita tengok semula catatan itu, ini menunjukkan bakat ada, cuma perlu diasah dengan betul.
Olahraga menawarkan pingat paling banyak tetapi tumpuan dan dana masih kalah kepada sukan lain. Mengapa?
Memang betul. Olahraga dan renang adalah sukan penyumbang pingat terbesar. Jika diberikan dana mencukupi dan pelan jangka panjang, saya yakin olahraga mampu menjadi penyumbang utama seperti Sukan SEA 1997 apabila kita meraih 16 pingat emas.
Namun realitinya, bola sepak adalah sukan rakyat manakala badminton konsisten menyumbang pingat Olimpik. Mungkin persatuan olahraga perlu lebih agresif mencari dana sendiri untuk melaksanakan program jangka panjang tanpa terlalu bergantung kepada peruntukan kerajaan.
Bagaimana peranan MSN dan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) boleh diperkasa?
Bagi saya, MSN telah banyak membantu melahirkan atlet olahraga ketika ini. Institut Sukan Negara (ISN) juga memainkan peranan besar dari aspek sains sukan dan rawatan.
Apa yang perlu diberi perhatian ialah KOM perlu mengurangkan politik dalaman. Fokus utama mesti kepada agenda negara dan pembangunan atlet, bukan kepentingan individu atau kelompok.
Isu jurulatih luar sering menjadi perdebatan. Pandangan anda?
Malaysia tidak ketandusan jurulatih tempatan yang hebat. Apa yang boleh dibuat ialah menghantar jurulatih-jurulatih terbaik kita ke luar negara untuk menimba ilmu.
Ia lebih menjimatkan kos. Pernah kita bayar jurulatih luar sehingga RM40,000 sebulan, tetapi hasilnya tiada. Dengan jumlah sama, kita boleh membayar lapan jurulatih tempatan. Kadang-kadang jurulatih tempatan lebih cemerlang kerana faham budaya dan atlet kita.
Bagaimana kerjasama sekolah dan universiti boleh diperkukuh?
Saluran khas atlet perlu terus diperluas supaya mereka boleh belajar dan berlatih serentak. Biasiswa sukan juga sangat penting.
Di peringkat universiti, kejohanan kini semakin kompetitif melalui Varsity Track & Field (VTF) di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT). Ini perkembangan positif untuk kesinambungan bakat.
Adakah Malaysia bersedia dari segi sains sukan dan teknologi?
Sepatutnya kita menguasai ilmu ini sepenuhnya. Analisis biomekanik, pemakanan sukan dan teknologi latihan sangat membantu meningkatkan prestasi. Ini bukan lagi pilihan, tetapi keperluan dalam olahraga moden.
Lima tahun akan datang, apa langkah konkrit yang perlu diambil?
Atlet yang sudah bagus perlu dihantar berlatih ke luar negara. Kita ada contoh seperti Noraseela Khalid, Muhammad Malik Tobias, Zaiful Zainal Abidin dan Moh Siew Wei yang pernah berkelana ke Jerman. Zaman Zaki Sadri dahulu pun atlet dihantar ke Amerika Syarikat.
Kini kita ada pelari pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi yang turut berada di negara Uncle Sam itu.
Selain itu, takwim kejohanan mesti dipatuhi, jangan diubah pada saat akhir kerana jurulatih merancang latihan berdasarkan jadual.
Kita juga perlu kejohanan yang dapat keluarkan atlet dari zon selesa. selain memberi ganjaran besar apabila mereka berjaya memecahkan rekod kebangsaan, contohnya hadiah motosikal serta wang tunai yang setimpal.
Bagaimana mahu hidupkan semula budaya olahraga dalam masyarakat?
Sebenarnya olahraga masih ada peminat. Ramai bekas atlet sudah membuka kelab, kejohanan akar umbi juga semakin banyak. Apa yang kami perlukan ialah sokongan media cetak dan elektronik untuk menaikkan semula sukan ini.
Akhir sekali, peluang Malaysia di Sukan SEA 2027?
Berdasarkan prestasi di Sukan SEA 2025, skuad olahraga berjaya meraih lima emas, lima perak dan tujuh gangsa dengan enam rekod kebangsaan berjaya dipecahkan.
Paling mengejutkan kejayaan atlet lontar peluru negara, Nani Sahirah Maryata yang berjaya meraih pingat emas meskipun tidak diletakkan sebagai pilihan, malah dia turut memecah rekod kebangsaan.
Tiga rekod baharu Sukan SEA turut tercipta di bumi Thailand menerusi Irfan Shamsuddin, Jonah Chang dan Grace Wong.
Olahraga ini penuh ‘magis’. Pasti akan muncul atlet baharu, seperti Umar dalam acara 400 meter pada 2023. Untuk Sukan SEA 2027 di Kuala Lumpur, saya melihat kita memiliki barisan atlet yang mantap dan berharap olahraga kembali menjadi penyumbang pingat terbanyak negara. – UTUSAN










