PETALING JAYA: Seorang guru dan tiga murid Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) cedera ringan selepas bas dinaiki mereka terbabas sehingga melanggar sebatang pokok dalam kejadian di Jalan Universti Putra Malaysia (UPM) Serdang dekat sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira 12.18 tengah hari itu, bas yang membawa lima guru dan 30 murid Pasti Ampang dari arah kilang coklat Beryl’s menuju ke G2G Animal Garden MAEPS, Serdang.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Muhamad Farid Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan darippada Polis Bantuan UPM Serdang memaklumkan berkaitan kemalangan terbabit.
Katanya, siasatan awal mendapati bas yang dipandu seorang lelaki berusia 44 tahun itu dalam keadaan bergerak lurus namun hilang kawalan sehingga terbabas ke sebelah kiri dan melanggar sebatang pokok.
“Akibat kejadian itu, seorang guru dan tiga murid cedera ringan dan dihantar ke Hospital Serdang untuk rawatan.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya,” katanya.-UTUSAN.