KOTA BHARU: Cadangan menaikkan umur persaraan wajib penjawat awam kepada 65 tahun akan dikaji secara menyeluruh, berfakta dan bersandarkan kepentingan nasional.
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata, semua pihak wajar memberi ruang kepada pihaknya untuk menjalankan kajian komprehensif sebelum membuat sebarang kesimpulan berhubung isu tersebut yang bakal memberi kesan langsung kepada landskap tenaga kerja sektor awam.
Menurutnya, setakat ini belum ada sebarang dapatan konkrit dapat dinyatakan berikutan kajian mengenai perkara tersebut hanya akan dimulakan bersekali dengan pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
“JPA bagaimanapun tidak akan menunggu sehingga RMK13 bermula kerana dapatan-dapatan awal akan dilaksanakan terlebih dahulu dengan melihat kepada beberapa negara yang menawarkan tempoh perkhidmatan awam lebih panjang berbanding Malaysia sebagai penanda aras.
“Jadi kajian itu masih memerlukan masa panjang dan JPA juga tidak akan bersendirian. Sesi libat urus akan dilaksanakan dengan pihak-pihak berkepentingan termasuk persatuan-persatuan seperti Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Ceupacs).
“Saya juga bercadang untuk melaksanakan sesi libat urus dengan persatuan-persatuan belia kerana merekalah yang akan terlibat dalam kajian sebegini,” katanya kepada pemberita ditemui semasa program ziarah ke rumah pesara Allahyarham Kamal Ariffin Mohamed sempena Mesyuarat Pengurusan Tertinggi JPA di Kampung Gayong, Pengkalan Chepa, di sini hari ini.
Pada majlis tersebut, Wan Ahmad Dahlan menyerahkan sumbangan kepada balu Allahyarham, Siti Rubiah Mohammad.
Wan Ahmad Dahlan memberitahu, cadangan menaikkan umur persaraan bukan sesuatu yang luar biasa untuk dilihat oleh kerajaan berikutan sudah banyak negara lain melaksanakannya.
“Contohnya, Singapura yang menawarkan umur persaraan pada 63 tahun dan negara-negara Scandanavia yang mencadangkan umur persaraan sehingga 70 tahun. Negara kita juga sudah ada skim persaraan pada usia 66 tahun bagi hakim-hakim.
“Jika dikatakan kenaikan umur persaraan akan menyebabkan pekerja kurang produktif, kita lihat negara-negara yang menawarkan tempoh perkhidmatan lebih panjang, kebanyakannya adalah negara-negara maju,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Wan Ahmad Dahlan menegaskan, kenyataan golongan belia semakin kurang berminat menyertai perkhidmatan awam masih boleh dipertikaikan.
Katanya, hal ini kerana dapatan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) menunjukkan masih banyak permohonan diterima untuk menyertai perkhidmatan awam pada setiap tahun, sehingga mencecah ratusan ribu.
“Saya beri contoh permohonan untuk perjawatan skim tadbir dan diplomatik. Kerajaan hanya memerlukan seramai 165 pegawai tadbir dan diplomatik pada tahun depan tetapi jumlah pemohon mencecah seramai 200,000 orang.
“Ia secara jelas dan signifikan menunjukkan bahawa permohonan untuk bekerja dengan kerajaan masih diminati oleh rakyat Malaysia,” katanya. – UTUSAN