ROM: “Saya kini antara yang paling lemah,” itulah pengakuan mengejutkan juara dunia dua kali, Francesco Bagnaia mengenai prestasinya di MotoGP musim ini.
Pelumba Itali itu berkata kelemahan utama pada jentera Ducati GP25 adalah ketika membrek dan memasuki selekoh, sekali gus memudahkan lawan memintasnya.
Reputasi Bagnaia sebelum ini sebagai pelumba sukar dilepasi kini hilang, malah dia mengakui masalah itu sudah berlarutan sejak Grand Prix Thailand, Mac lalu.
“Saya sebelum ini memang sukar dipintas, atau sesiapa yang cuba memintas pasti melebar, tetapi sekarang keadaannya terbalik. Saya antara yang paling lemah, semua orang memintas saya ketika membrek.
“Bila saya membrek kuat, saya tidak boleh berhentikan motor, tetapi kalau membrek lebih awal, saya sukar masuk selekoh. Memang sangat sukar untuk dikawal,” kata Bagnaia.
Bagnaia kini berada di luar perebutan gelaran, malah mengakui peluang menandingi rakan sepasukan baharunya, Marc Marquez hampir mustahil dalam keadaan sekarang.
Sasaran realistiknya kini adalah mengejar Alex Marquez yang 48 mata di hadapan bagi mengekalkan rekod menamatkan musim dalam kelompok dua teratas sejak 2021. – AGENSI