Bangladesh kerah kapal perang lindungi ikan hilsa

Bangladesh kerah kapal perang lindungi ikan hilsa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DHAKA: Pasukan pertahanan Bangladesh mengerahkan kapal perang dan pesawat rondaan sebagai sebahagian daripada operasi khas bagi melindungi ikan hilsa yang berharga daripada aktiviti penangkapan haram semasa musim bertelur.

Ikan hilsa, yang menyerupai ikan hering dan merupakan ikan kebangsaan Bangladesh serta sajian kegemaran di Bengal Barat, India akan berenang semula dari Teluk Benggala ke sungai-sungai setiap tahun untuk bertelur.

Pihak berkuasa Bangladesh pada Sabtu memaklumkan larangan menangkap ikan selama tiga minggu dari 4 hingga 25 Oktober dikuatkuasakan bagi melindungi kawasan pembiakan tersebut.

Jabatan Perhubungan Awam pasukan pertahanan itu dalam satu kenyataan berkata, 17 kapal perang tentera laut dan helikopter rondaan dikerah untuk menguatkuasakan larangan itu serta melindungi ikan hilsa.

“Kapal perang dan pesawat rondaan maritim berteknologi tinggi menjalankan pemantauan sepanjang masa bagi menghalang pencerobohan nelayan tempatan dan asing ke laut dalam,” kata kenyataan itu.

Jutaan penduduk Bangladesh bergantung kepada ikan ini, yang boleh mencecah harga sehingga 2,200 taka (RM77.53) sekilogram di Dhaka.

Armada nelayan India pula menangkap ikan di perairan Sungai Gangga dan deltanya yang luasnya bagi memenuhi permintaan di bandar raya Kolkata dan seluruh negeri Bengal Barat yang mempunyai lebih 100 juta penduduk.

Penangkapan berlebihan untuk memenuhi permintaan tersebut boleh mengurangkan stok ikan hilsa yang kembali untuk bertelur.

Pakar alam sekitar berkata, populasi ikan juga terjejas akibat perubahan pada delta yang sensitif secara ekologi dan rendah parasnya, yang kini diancam oleh kenaikan aras laut akibat perubahan iklim.

Namun, mereka turut bimbang kehadiran kapal perang boleh mengganggu ikan hilsa pada masa penting untuk pembiakan.

Bekas Ketua Projek Eco Fish di WorldFish, Md Abdul Wahab berkata, ikan hilsa memerlukan perairan yang tenang dan tidak diganggu untuk bertelur dan mencadangkan penggunaan dron sebagai alternatif.

Kerajaan Bangladesh memperuntukkan 25 kilogram beras bagi setiap keluarga nelayan sebagai pampasan sepanjang tempoh larangan itu.

Namun, ada yang menganggap bantuan itu tidak mencukupi.

“Tiga minggu ini amat sukar bagi kami, kerana tiada sumber pendapatan lain,” kata seorang nelayan berusia 60 tahun, Sattar Majhi.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×