PETALING JAYA: Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) mengumumkan pelantikan rasmi Amir Hamdan sebagai Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (PGCEO), berkuat kuasa 15 Ogos 2025.
Pelantikan ini susulan pengumuman terdahulu pada 1 Julai lalu mengenai peranan beliau sebagai Pemangku PGCEO, sejajar dengan komitmen syarikat untuk memastikan kesinambungan kepemimpinan dan kelangsungan operasi dalam menyediakan perkhidmatan pengangkutan awam yang selamat, cekap dan berdaya saing.
Pengerusi Prasarana, Tan Sri Mohd. Nasir Ahmad berkata, keputusan melantik Amir secara rasmi dibuat selepas menilai prestasi cemerlang serta sumbangan signifikan beliau sejak menyertai Prasarana.
“Kepemimpinan beliau yang tenang, berwibawa dan berteraskan budaya tatakerja syarikat telah membuktikan kemampuannya membawa Kumpulan Prasarana ke hadapan. Lembaga Pengarah yakin beliau mampu memacu organisasi ini ke arah pencapaian lebih tinggi, selaras dengan matlamat nasional memperkukuh sistem pengangkutan awam negara,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Amir dalam kenyataan yang sama turut menjelaskan tanggungjawab tersebut merupakan satu amanah besar bagi memperkukuh sistem pengangkutan awam negara melalui pendekatan inklusif, berdaya saing dan berteraskan rakyat.
Amir menyertai Prasarana pada 2019 dan memiliki lebih 25 tahun pengalaman dalam bidang kewangan, operasi serta strategi korporat.
Beliau pernah memegang beberapa jawatan utama termasuk Ketua Pegawai Operasi Kumpulan (Operasi), Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail Sdn Bhd, serta Timbalan Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan.
Ketika menerajui Rapid Rail, Amir berjaya melaksanakan pelbagai inisiatif penambahbaikan yang meningkatkan kecekapan operasi dan kebolehpercayaan perkhidmatan rel syarikat. – UTUSAN










