PETALING JAYA: Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) diarah mengenakan hukuman maksimum terhadap Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) susulan insiden tren Transit Aliran Ringan (LRT) tergelincir berhampiran Stesen Chan Sow Lin, Kuala Lumpur pagi semalam.
Menteri Pengangkutan,, Anthony Loke Siew Fook berkata, tindakan serius termasuk pemecatan perlu diambil oleh pihak Lembaga Pengarah Prasarana terhadap pihak yang cuai.
Katanya, ia bertujuan mengembalikan keyakinan orang ramai terhadap kebolehpercayaan perkhidmatan sistem rel di bawah kendalian Prasarana.
“Pihak APAD telah membuka kertas siasatan terhadap insiden ini serta merta. Saya ingin menegaskan bahawa Lembaga Pengarah dan Pasukan Pengurusan Prasarana tidak boleh meneruskan sikap business-as-usual.
“Kejadian sebegini perlu dipandang serius dan tiada sesiapa dalam pengurusan tertinggi Prasarana akan terkecuali daripada akauntabiliti dalam insiden ini.
“Piawaian keselamatan dan kebolehpercayaan perkhidmatan awam bukanlah sesuatu yang boleh dikompromikan,” katanya dalam kenyataan semalam.
Anthony Loke berkata, pihak kementerian segera menubuhkan satu pasukan petugas khas untuk menyiasat punca kejadian secara menyeluruh.
Katanya, insiden tersebut membawa risiko keselamatan yang tinggi kepada penumpang dan petugas meskipun kesemua mereka berjaya dipindahkan dan tiada kecederaan dilaporkan.
“Saya telah mengarahkan supaya dapatan siasatan ini dikemukakan kepada Jemaah Menteri secepat mungkin dan laporan tersebut dihebahkan secara umum,” katanya. – UTUSAN










