LRT-Laluan Shah Alam jadi tumpuan di hari pertama

LRT-Laluan Shah Alam jadi tumpuan di hari pertama

LRT-Laluan Shah Alam
LRT-Laluan Shah Alam terus menjadi tumpuan pengguna pada hari pertamanya beroperasi yang turut menawarkan tambang percuma sehingga 31 Julai ini. - UTUSAN / SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Dianggarkan seramai 5,000 hingga 10,000 penumpang menggunakan perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Shah Alam yang mula beroperasi pada pukul 6 pagi, hari ini.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Prasarana Malaysia Berhad (Prasaran), Amir Hamdan berkata, daripada jumlah penggunaan yang besar itu beliau menjangkakan penambahbaikan boleh dilakukan terhadap kemudahan dan peralatan.

“Kita nampak dari segi headway kira-kira lapan minit ketika masa puncak. Jadi, keadaan masih terkawal dari semua sudut fasiliti dan sebagainya. Ada sedikit sebanyak isu, namun itu bukan perkara yang besar.

“Jadi, memang kita akan lihat (sebarang isu) apabila ada penggunaan mesin-mesin dan juga pintu, kita akan dapat lihat bila ramai guna, apakah penambahbaikan yang kita perlukan,” katanya ditemui ketika meninjau hari pertama operasi LRT-Laluan Shah Alam di sini, hari ini.

Beliau bersama pengurusan Prasarana meninjau operasi LRT, pergerakan serta kapasiti penumpang terutama melibatkan stesen-stesen yang dijangka menjadi tumpuan seperti di Stesen Glenmarie 2 dan Bandar Utama.

Kedua-dua laluan itu dianggap sebagai hotspot kerana menghubungkan LRT-Laluan Shah Alam dengan Laluan Kelana Jaya dan Transit Aliran Massa (MRT)-Laluan Kajang.

Semalam Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pembukaan LRT-Laluan Shah Alam yang dahulu dikenali sebagai LRT3 bermula hari ini dan tawaran tambang percuma selama sebulan termasuk perkhidmatan bas perantara di setiap 20 stesen.

Amir juga memaklumkan bermula hari ini pihaknya akan mendapatkan data dan maklum balas daripada pengguna untuk meningkatkan jumlah tren, kekerapan perjalanan dan koc wanita.

“Sekarang belum ada lagi (koc wanita) tetapi kita hendak mengkaji keperluan mewujudkan ruangan tersebut. Kita akan membuat tinjauan dari segi penggunaan kerana ketika ini jenis tren digunakan di Laluan Shah Alam adalah tiga koc.

“Kita juga akan melihat kekerapan penggunaan dan perjalanan dari semasa ke semasa. Jika perlu kita akan adakan tren tambahan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN