PETALING JAYA: Lima pengamal perubatan berkelulusan Ijazah Fellowship Pembedahan Kardiotorasik daripada Royal College of Surgeons of Edinburgh (RCSeD) berjaya didaftarkan di bawah Daftar Pakar Majlis Perubatan Malaysia (MMC), selaras dengan Seksyen 14C Akta Perubatan 1971 [Akta 50].
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, pendaftaran ini pencapaian besar dalam menyelesaikan kemelut lama berkaitan pengiktirafan latihan kepakaran Laluan Parallel serta kelulusan antarabangsa dalam bidang kritikal seperti Pembedahan Kardiotorasik.
“Pindaan terhadap Akta 50 juga menyaksikan lebih ramai pakar yang dilatih secara khusus melalui Latihan Kepakaran Laluan Parallel akan didaftarkan,selari dengan pakar yang dilatih melalui program sarjana perubatan universiti tempatan.
“Ini membolehkan mereka ditempatkan di lebih banyak fasiliti kesihatan termasuklah di kawasan luar bandar bagi memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini
Kelima-lima Pakar Pembedahan Kardiotorasik tersebut kini sedang berkhidmat di Hospital Pulau Pinang dan di Institut Jantung Negara (IJN).
Dalam pada itu Dr. Dzulkefly berkata, beberapa langkah penting telah dilaksanakan pihaknya susulan pindaan terhadap Akta Perubatan 1971 [Akta 50].
Ini termasuk pemberian elaun khas kepada pegawai perubatan yang sedang menjalani tempoh Pengalaman Kerja Yang Diselia atau Supervised Work Experience (SWE)bermula 14 Julai lalu.
“Elaun khas tersebut, iaitu Bayaran Insentif Pakar Pra-Warta (BIPPW) diberikan pada kadar yang sama dengan elaun yang diterima oleh pakar yang telah pun berdaftar bagi menghargai dan mengiktiraf peranan serta komitmen pegawai perubatan yang sedang menjalani SWE.
“Pelaksanaan SWE juga merupakan satu langkah penting bagi memastikan pakar yang berkhidmat dalam sector awam adalah berkualiti dan selamat untuk mengamal,” katanya.
Kementerian Kesihatan (KKM) kini memperincikan proses penilaian kebolehbandingan untuk pakar perubatan yang pulang dari luar negara, bagi memastikan pendaftaran lebih telus dan berlandaskan piawaian tinggi. – UTUSAN










