MELAKA: Seramai 475 graduan Politeknik Melaka berjaya menamatkan pengajian di peringkat Diploma dan diraikan sempena Majlis Konvokesyen PMK ke-22 bertempat di Melaka International Trade Centre (MITC).
Majlis Konvokesyen ini melibatkan graduan daripada Jabatan Kejuruteraan Awam, Jabatan Kejuruteraan Elektrik, Jabatan Kejuruteraan Mekanikal, Jabatan Perdagangan.
Majlis Konvokesyen Politeknik Melaka ke-22 merupakan manifestasi kejayaan para graduan menamatkan pengajian masing-masing bersama-sama ibu bapa, ahli keluarga, sahabat handai serta para pensyarah yang tidak mengenal erti jemu mendidik dan mendoakan kejayaan para graduan.
Penganugerahan diploma kali ini merupakan graduan yang tamat pengajian pada sesi I & II 2023/2024 dan sesi I 2024/2025. Jumlah keseluruhan siswazah yang dilahirkan oleh PMK sejak tahun 2000 sehingga kini adalah seramai 11,135.
Sidang pertama Majlis Konvokesyen Politeknik Melaka ke-22 disempurnakan oleh Ketua Setiausaha, Kementerian Pendidikan Tinggi, Datuk Dr. Anesee Ibrahim.
Manakala sidang kedua, disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan), Jabatan Pendidikan Politeknik Dan Kolej Komuniti.Dr. Shamsuri Abdullah,
Dalam majlis ini, tiga orang graduan cemerlang Politeknik Melaka telah dipilih sebagai penerima Anugerah Pengarah, iaitu anugerah tertinggi yang diberikan kepada graduan yang memenuhi kriteria seimbang
dari segi pencapaian akademik dan penglibatan aktif dalam kokurikulum.
Penerima Anugerah Pengarah ini juga layak untuk dicalonkan sebagai penerima Biasiswa Pelajar Cemerlang Politeknik bagi melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah pertama, tertakluk kepada syarat-syarat kelayakan dan peruntukan kewangan semasa.
Selain itu, Majlis Konvokesyen PMK turut memberi penghargaan dan pengiktirafan kepada para graduan melalui penyampaian Anugerah Khas, Anugerah Projek Terbaik, serta Anugerah Kecemerlangan Akademik dan Kokurikulum.
Para penerima anugerah menerima sijil anugerah berserta wang tunai tajaan daripada industri yang berkolaborasi dengan PMK dan juga daripada ALUMNI PMK.
Dalam majlis ini, salah seorang penerima anugerah, Muhammad Idham bin Idrus, turut diberi penghormatan untuk menyampaikan ucapan mewakili graduan pada sidang pertama.
Anak kelahiran Mukim Balai Panjang, Melaka ini bakal menerima Anugerah Akademik dan Kokurikulum serta Anugerah Pengarah, hasil pencapaian cemerlang dalam bidang akademik dan kepimpinan sepanjang tempoh pengajian.
Beliau memulakan pengajian dalam keadaan kaki patah sewaktu semester pertama, namun tetap berjaya meraih Anugerah Dekan. Sejak dari awal pengajian, beliau bekerja mencuci lori di Krubong pada setiap malam bagi menyara keperluan diri. Cabaran bertambah apabila ayah beliau jatuh sakit ketika beliau berada di semester tiga.
Tanpa mengabaikan pelajaran, beliau memikul tanggungjawab sebagai ketua keluarga dan menjadi tonggak utama adik-beradik. Kisah ketabahan dan kejayaan Muhammad Idham menjadi sumber inspirasi membuktikan bahawa kesungguhan dan pengorbanan mampu mengubah kehidupan. – UTUSAN