KANGAR: Sebanyak 54.4 peratus atau 10,241 petani di negeri ini berusia 60 tahun ke atas, menyaksikan golongan warga emas terus mendominasi sektor pertanian di Perlis.
Hasil bancian pertanian 2024 di Perlis juga mendapati sebanyak 27.4 peratus petani berusia 46 hingga 59 tahun manakala 18.2 peratus sahaja petani muda yang berumur antara 15 hingga 45 tahun terlibat dalam sektor pertanian.
Hasil dapatan bancian tersebut melibatkan keseluruhan 18,839 petani di negeri ini dengan hampir 100 peratus yang terlibat dalam aktiviti pertanian di Perlis adalah terdiri daripada warganegara selain menyaksikan lelaki mendominasi penglibatan dalam sektor tersebut iaitu merangkumi sebanyak 76.6 peratus.
Ketua Pengarah Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, semua perlu menerima hakikat bahawa petani tidak ada waktu bersara dengan selagi ada hayat, akan terlibat dalam sektor itu.
Katanya, disebabkan itu, jumlah petani warga emas atau yang berumur ini sentiasa tinggi manakala golongan muda dalam sektor pertanian tersebut masih rendah.
“Kita kena terima hakikat, kalau dia jadi petani, dia tidak ada waktu pencen, selagi ada hayat akan sentiasa berusaha dalam pertanian ini manakala golongan muda pula masih rendah.
“Di peringkat kerajaan negeri, kita yakin kesungguhan untuk terus memastikan sektor pertanian terus berkembang dan sumbangan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) dalam sektor itu juga merekodkan lebih kurang 17.1 peratus,” katanya ketika ditemui pada majlis perasmian Laporan Interim Banci Pertanian 2024 peringkat negeri ini di Hotel Seri Malaysia di sini hari ini.
Perasmian disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian negeri, Razali Saad.
Mohd. Uzir berkata, Malaysia kini mempunyai data baseline sektor pertanian terkini dan komprehensif melalui Banci Pertanian 2024 tersebut di mana banci terakhir dijalankan hampir 20 tahun lalu.
“Ia sebagai sebahagian daripada transformasi ke arah pengukuhan statistik pertanian. Banci pertanian akan dilaksanakan sekali pada setiap 10 tahun bagi memastikan data adalah relevan dan menggambarkan struktur sektor pertanian negara,” katanya.
Sementara itu, Razali berkata, seluas 58,500 hektar keluasan bertanam dan 52,000 hektar keluasan bertuai direkodkan hasil Banci Pertanian 2024 di negeri ini.
Katanya, nilai jualan direkodkan dalam tahun berkenaan pula adalah sebanyak RM584.82 juta dengan sumbangan terbesar adalah daripada sub sektor tanaman iaitu merangkumi 47.3 peratus.
“Ia diikuti sub sektor Perikanan (27.3 peratus), sub sektor ternakan (19.6 peratus), sub sektor perhutanan dan pembalakan (4.7 peratus) dan sub sektor akuakultur (1.1 peratus). Kerajaan negeri akan terus kekal komited untuk memastikan sektor pertanian berkembang maju dan berdaya saing seterusnya menyumbang secara signifikan kepada keterjaminan makanan serta ekonomi negeri.
“Sebagai sebuah negeri yang diliputi hampir 65 peratus kawasan pertanian, pemerkasaan sektor pertanian akan terus diberikan perhatian serius merangkumi pembangunan industri padi, sayuran, tanaman ladang,buah-buahan, kelapa serta tanaman industri dan herba,” katanya. – UTUSAN