PUTRAJAYA: Sebanyak 97.78 peratus daripada 361 syarikat produksi yang menggajikan pelakon kanak-kanak dan orang muda di dalam filem dan drama tidak melakukan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, perkara itu didedahkan menerusi Kajian Penggajian Pelakon Kanak-Kanak dan Orang Muda Dalam Filem dan Drama dengan menunjukkan hanya 2.22 peratus syarikat produksi berbuat demikian.
Jelasnya, situasi itu membuktikan tiada kesedaran di pihak syarikat produksi selain melihat pelakon kanak-kanak dan orang muda itu sebagai bukan pencari nafkah keluarga,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melancarkan laporan kajian itu di sini semalam.
Dalam pada itu katanya, kajian itu turut menunjukkan sebanyak 73.13 peratus syarikat produksi tidak mengetahui mengenai keperluan untuk mendapatkan lesen permit hiburan awam daripada Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM).
Katanya, hanya 4.16 peratus menyedari kepentingan lesen berkenaan manakala 22.71 peratus lagi tidak pasti dan sebanyak 52.91 peratus syarikat produksi tidak pernah memohon lesen terbabit manakala 47.09 peratus lagi tidak pasti.
“Sejumlah 63.43 peratus responden setuju bahawa aktiviti pendidikan perburuhan perlu ditingkatkan agar kesedaran mengenai perkara itu dapat dipertingkatkan,” ujarnya.
Beliau berkata, tiga kumpulan umur tertinggi pelakon kanak-kanak dan orang muda merangkumi 32.69 peratus usia 15 hingga 17 tahun 11 bulan dan 32.41 peratus berusia antara 13 hingga 14 tahun 11 bulan.
Selain itu, sebanyak 24.65 peratus kanak-kanak berusia lima tahun 11 bulan sehingga 12 tahun 11 bulan menjadi pelakon.
Tambah beliau, ibu merupakan golongan tertinggi penerima pembayaran bagi pihak kanak-kanak dan pelakon muda iaitu sebanyak 50.42 peratus manakala golongan bapa merangkumi 18.84 peratus, selain 14.40 peratus oleh penjaga golongan itu.
Pada majlis itu, beliau turut melancarkan Buku Kajian Diaspora Malaysia di Brunei yang menunjukkan 68 peratus dalam kalangan mereka adalah pekerja mahir dan 24.1 peratus adalah pekerja separa mahir.
“50 peratus diaspora berada di Brunei kerana bekerja, manakala 50 peratus lagi bagi tujuan lain iaitu berkahwin dengan warga Brunei (39.4 peratus), urusan keluarga (31.6 peratus), mengikut pasangan bekerja (23.1 peratus) dan menjalankan perniagaan (16.4 peratus).
“Bagi penggajian pula, sebanyak 4.8 peratus diaspora menerima gaji kasar bulanan antara BN$10,001 sehingga BN$15,000,” katanya.
Dapatan utama kajian tersebut turut menunjukkan 75.6 peratus diaspora akan terus bekerja di negara tersebut dengan disokong lima faktor iaitu gaji yang lebih lumayan, persekitaran kerja lebih baik, kadar pertukaran wang BND tinggi, ahli keluarga ada bersama selain pekerjaan yang stabil. – UTUSAN










