ALOR SETAR: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kedah akan menyediakan bantuan kaunseling kepada Putri Qisya Nur Izzat Mohamad Azim Izat, 12, anak sulung kepada pasangan suami isteri yang terkorban bersama empat anak mereka dalam kemalangan tragis di Sungai Korok, Jitra, Sabtu lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Datuk Halimation Shaadiah Saad berkata, pihaknya mengarahkan JKM Kedah agar memantau kebajikan remaja itu secara berterusan, memandangkan Putri Qisya kini bergelar yatim piatu.
“Saya menziarahi Putri Qisya semalam, pada ketika ini dia memang emosi (trauma) apabila saya pegangnya, dia menggigil. Walaupun kita tengok dia matang tetapi daripada segi emosi dia masih kanak-kanak. Dia trauma juga.
“Saya telah meminta JKM Kedah untuk terus memantau keadaan dan kebajikan Putri Qisya, termasuk memberikan khidmat kaunseling dari semasa ke semasa,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurut beliau, JKM juga akan menjalankan siasatan bagi menentukan waris yang layak bagi mendapatkan hak penjagaan terhadap remaja tersebut.
“Kadang-kadang ada perebutan antara waris itu jadi kami akan tengok (siasat) dengan siapa dia akrab dan selesa. Penentuan hak penjagaan akan dibuat mengikut prosedur operasi standard (SOP) di bawah Akta Kanak-Kanak 2001.
“Siasatan terperinci perlu dilakukan bagi memastikan Putri Qisya ditempatkan di bawah jagaan individu atau keluarga yang benar-benar layak dan mampu menjaganya dengan baik,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya juga akan memberi peluang kepada remaja itu sekiranya dia ingin menetap di mana-mana asrama yang akan diuruskan oleh pejabat zakat negeri ini.
“Kalau dia hendak duduk asrama pejabat zakat akan uruskan kerana dia anak yatim piatu tetapi Putri Qisya ada beritahu bahawa dia mahu duduk di rumah dulu dengan siapa yang dia selesa sehingga tenang,” katanya.
Sabtu lalu, negara dikejutkan dengan tragedi menyayat hati apabila enam sekeluarga maut selepas kenderaan yang mereka naiki terbabas sebelum terhumban ke dalam Sungai Korok di Jitra.
Mangsa yang terkorban ialah Mohamad Azim Izat Ishak, 32, isterinya Nurul Hidayah Khadijah Razman Efendi, 31, serta empat anak mereka iaitu Putra Rayyan Nur Izat, 9; Hawa Adriana, 8; Anayla Huma’ira, 7; dan bayi lelaki berusia enam bulan, Tuah Haydar. – UTUSAN