Putri Qisya mimpi arwah ibu ‘bantu’ persiapan ke MRSM

Putri Qisya mimpi arwah ibu ‘bantu’ persiapan ke MRSM

MAHZIR Khalid bersama Nazri Arshat membantu Putri Qisya Nur Izzat Mohamad Azim memilih kasut sukan sebagai persediaan mendaftar di MRSM Kubang Pasu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUBANG PASU: Persiapan Putri Qisya Nur Izzat Mohamad Azim, 13, melangkah ke tingkatan satu, Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kubang Pasu, meriah apabila ‘dibantu’ arwah ibunya yang terkorban dalam tragedi Sungai Korok, tahun lalu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Meskipun cuma mimpi, wajah arwah ibu, Allahyarham Nurul Hidayah Khadijah Razman Efendi jelas kelihatan dan menjadi momen terindah buatnya, apatah lagi menyambung persekolahan di MRSM merupakan impian besar ibu, sebelum ini.

“Saya mimpi umi dan dua adik temankan saya beli barangan keperluan untuk daftar masuk ke MRSM, umi paling sibuk. Sekejap saja mimpi itu sebelum tiba-tiba terjaga setelah dikejutkan tok umi (nenek) untuk solat Subuh.

“Walaupun cuma mimpi, saya dapat rasakan umi dan walid bahagia dan bangga kerana saya dapat juga belajar di MRSM bermula hari ini,” kata-nya ditemui selepas menerima kunjungan Pengerusi UMNO Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid bersama Pemuda UMNO Jerlun, semalam.

Dalam kejadian 7 Julai 2025, pasangan suami isteri, Moha-mad Azim Izat Ishak dan Nurul Hidayah Khadijah ditemukan lemas di Sungai Korok bersama empat anak iaitu Putra Rayyan Nur Izzat, Hawa Adriana Nur Izzat, Annayla Humaira Nur Izzat dan Tuah Haydar.

Enam beranak itu ditemukan di bahagian tempat duduk belakang kereta Proton Iswara dinaiki mereka yang sebelum itu terbabas ke dalam sungai berkenaan. Putri Qisya terselamat kerana tidak mengikuti mereka ketika itu.

Sementara itu, Putri Qisya menghargai usaha semua pihak membantu memudahkan kehidupannya sejak tragedi itu sehingga dia diterima belajar ke MRSM.

Katanya, dia akan belajar bersungguh-sungguh bagi membalas jasa pihak yang menawarkan pelbagai bentuk bantuan kepadanya selama ini.

“Saya cuma berpisah sementara dengan keluarga tok umi dan mama (ibu saudara) kerana akan tinggal di asrama dan berharap dapat bertemu rakan-rakan yang baik di MRSM nanti.

“Selain mahu membanggakan arwah umi dan walid, saya nak membuktikan bahawa budak biasa pun boleh berjaya,” katanya yang bercita-cita menjadi juruterbang.

Sementara itu, Ketua Pemuda UMNO Jerlun, Nazri Arshat berkata, kunjungan itu bagi melihat persiapan Putri Qisya sebelum mendaftar di MRSM terutama kelengkapan untuk tinggal di asrama kelak.

“Pemuda UMNO Jerlun dan Majlis Amanah Rakyat (Mara) khususnya sentiasa memantau keadaan Qisya dan Alhamdulillah impiannya untuk sambung belajar ke MRSM terlaksana jua akhirnya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN