LONDON: Petinju sensasi Ukraine, Oleksandr Usyk terus mengukuhkan status sebagai juara dunia apabila menumbangkan pencabar dari Britain, Daniel Dubois pada pusingan kelima dalam pertarungan sengit di London,semalam.
Dalam aksi tersebut, Usyk berjaya menjatuhkan Dubois sebanyak dua kali pada pusingan kelima sebelum pengadil membuat keputusan untuk menghentikan pertarungan, sekaligus memastikan tali pinggang dunia versi IBF kekal dalam genggamannya.
Kemenangan itu menambah lagi koleksi gelaran heavyweight milik Usyk yang sebelum ini sudah menyandang tali pinggang WBC, WBA dan WBO. Rekod bersihnya turut dikekalkan dengan 24 kemenangan tanpa kalah, termasuk 15 menerusi knockout.
“Tiga puluh lapan masih muda, 38 hanyalah permulaan,” kata Usyk ringkas.
Sementara itu, Dubois yang kelihatan kecewa selepas kekalahan di hadapan penyokong sendiri tetap bersikap profesional dan memuji kehebatan lawan.
“Saya sudah beri segala-galanya. Tahniah buatnya. Tapi saya akan bangkit semula,” katanya selepas perlawanan.
Untuk rekod, ini merupakan kali kedua Dubois ditewaskan oleh Usyk selepas tewas dalam pertemuan pertama pada Ogos 2023, yang turut tumbang menerusi knockout pada pusingan kesembilan.
Dubois kini mencatat rekod 22 kemenangan dan tiga kekalahan, dengan 21 daripadanya melalui knockout.-AGENSI