BEDMINSTER: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump akan menghadiri perlawanan akhir Piala Dunia Kelab FIFA di Stadium MetLife, New Jersey, awal pagi ini.
Perlawanan antara Paris Saint-Germain (PSG) dan Chelsea itu menjadi ujian awal kepada kemudahan tuan rumah sebelum kejohanan Piala Dunia 2026 yang turut dijadual berlangsung di venue sama.
Trump dilihat mahu menjadikan temasya besar sukan seperti Piala Dunia dan Sukan Olimpik 2028 sebagai simbol kepada apa yang digelarnya sebagai “Zaman Keemasan Amerika” sepanjang penggal keduanya.
Menurut Presiden FIFA, Gianni Infantino, kehadiran Trump juga dipengaruhi minat peribadinya terhadap bola sepak serta kecintaan anak lelakinya, Barron.
“Beliau beritahu saya, anaknya sangat meminati bola sepak dan sebagai bapa, beliau turut menggemarinya.
“Ketika penggal pertama beliau, ada gawang bola sepak di taman Rumah Putih dan beliau memang teruja dengan sukan ini,” kata Infantino.
Trump juga pernah mempamerkan trofi Piala Dunia Kelab di atas mejanya di Pejabat Oval sejak Infantino menyerahkannya ketika lawatan pada Mac lalu.
Bagaimanapun, dasar imigresennya yang keras menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penyokong antarabangsa, apabila Naib Presiden, JD Vance menegaskan bahawa peminat perlu pulang selepas tamat kejohanan. – AGENSI