PETALING JAYA: Tiada kertas siasatan lain dibuka membabitkan kes serangan secara secara verbal terhadap Shila Amzah oleh seorang artis legenda semasa sesi latihan konsert di Stadium Merdeka baru-baru ini.
Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad berkata, siasatan dijalankan secara selari bersama kertas siasatan yang telah dibuka sebelum ini meskipun laporan telah dibuat oleh artis lagenda itu semalam.
“Keterangan artis lagenda berkenaan sahaja diambil setakat ini,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Semalam, polis memaklumkan kertas siasatan membabitkan kes itu sudah dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) Putrajaya untuk kajian lanjut.
Pihak polis kini menunggu arahan dan keputusan daripada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) berhubung kes berkenaan.
Kelmarin, media semalam melaporkan, kertas siasatan kes berkenaan sudah diserahkan kepada Pejabat Pendakwaan Negeri (PPN) Kuala Lumpur untuk tindakan susulan sebelum dirujuk ke AGC Putrajaya.
Siasatan kes ini dijalankan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Kes itu mendapat perhatian ramai selepas Shila membuat laporan polis mendakwa diserang artis legenda ketika sesi latihan konsert, yang turut dikongsikan di Instagram Story sehingga mencetuskan pelbagai reaksi peminat serta warga industri hiburan.- UTUSAN










