MUAR: Tarif import baharu dikenakan Amerika Syarikat (AS) serta pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) bakal menyebabkan industri perabot dalam negara sukar bertahan dan berpotensi gulung tikar.
Presiden Persatuan Perabot Muar (MFA), Steve Ong Yeou Huan berkata, kedua-dua perkara berkenan membebankan mereka dan dibimbangi ramai pengusaha perabot di daerah ini menghentikan operasi mereka.
“Sudah ada kilang-kilang subkontraktor yang menghentikan operasi sejak 2023. Dalam satu hingga dua tahun kebelakangan ini, beberapa kilang yang telah beroperasi lebih 20 hingga 30 tahun juga telah ditutup kerana tiada prospek.
“Jika kerajaan terus mengabaikan kesukaran yang dihadapi para pengusaha, lebih ramai pengilang akan terpaksa menutup operasi perniagaan mereka.
“Jika pengusaha perabot terpaksa menutup kilang atau memindahkan operasi ke luar negara, bukan sahaja peluang kerja akan terjejas malah menggugat keseluruhan rantaian industri yang berkait rapat,” katanya pada sidang akhbar yang turut dihadiri ahli persatuan tersebut di sini.
Steve Ong berkata, tarif yang dikenakan AS sangat memberi kesan dan menjejaskan pengusaha tempatan yang bergantung dengan pasaran AS.
Katanya, ia ditambah dengan dasar kerajaan seperti perluasan skop SST, kenaikan tarif elektrik dan kewajipan mencarum dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk pekerja asing yang memburukkan lagi keadaan.
“Saya menyeru kerajaan agar menangguhkan peluasan SST dan kenaikan tarif elektrik serta membatalkan dasar KWSP untuk pekerja asing. Kerajaan juga diharap dapat sediakan insentif kewangan dan bantuan peralihan bagi membantu syarikat menstabilkan operasi, mengelakkan pemberhentian pekerja atau pemindahan operasi ke luar negara.
“Ini termasuk memulakan rundingan diplomatik dengan pihak AS bagi membincangkan pengurangan tarif import, demi melindungi daya saing eksport perabot negara di pasaran antarabangsa,” katanya.
Presiden Persatuan Perabot Malaysia (MFC), Desmond Tan Boon Hai pula berkata, industri perabot negara kini berada dalam keadaan tertekan ditambah dengan pelbagai dasar kerajaan yang dakwanya kurang sesuai dilaksanakan. – UTUSAN