KUALA LUMPUR: Sekumpulan Ahli Parlimen dari PKR menyuarakan kebimbangan mereka terhadap Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) antara Amerika Syarikat (AS) dan Malaysia dengan mendakwa perjanjian itu bersifat berat sebelah dan memihak kepada AS.
Perkara itu dinyatakan bersama Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Mohd. Rafizi Ramli, Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad dan Ahli Parlimen Subang, Wong Chen.
Menurut mereka, setelah meneliti kandungan serta maklumat berhubung perjanjian berkenaan, didapati ia jauh daripada semangat perkongsian setara dan tidak mencerminkan kepentingan bersama kedua-dua negara.
Pada sidang akhbar hari ini Chen berkata, kenyataan Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Liew Chin Tong, semasa forum awam pada 3 November lalu, turut menyebut Malaysia telah ‘dipaksa’ untuk memasuki rundingan ini.
“Proses penandatanganan perjanjian tersebut turut dipersoalkan berikutan kekurangan ketelusan serta ketiadaan konsultasi awam yang mencukupi.
“Berdasarkan maklum balas rasmi serta kekurangan kejelasan dalam teks perjanjian, kami percaya penandatanganan ini dibuat tanpa analisis menyeluruh terhadap faedah ekonomi dan implikasi keselamatan negara,” katanya di Bangunan Parlimen, di sini hari ini.
Chen turut menimbulkan persoalan mengenai kemungkinan perjanjian tersebut menjejaskan kedaulatan negara berdasarkan beberapa artikel dalam perjanjian itu, khususnya tetapi tidak terhad kepada Artikel 5.1, 5.2 dan 5.3, sekiranya dikuatkuasakan oleh AS dan dipatuhi oleh Malaysia, berpotensi mengehadkan dasar luar dan keselamatan negara.
“Keadaan itu boleh memaksa Malaysia untuk sejajar dengan kepentingan keselamatan dan ekonomi AS, sekali gus menjejaskan kebebasan Malaysia dalam menentukan hala tuju dasar nasionalnya sendiri.
“Senario ini merupakan satu penyimpangan besar daripada prinsip kedaulatan dan kebebasan Malaysia sebagai sebuah negara berdaulat,” katanya.
Beliau sehubungan itu menggesa kerajaan untuk melantik peguam perdagangan antarabangsa serta pakar luar berwibawa bagi memulakan proses pindaan terhadap artikel perjanjian yang lebih membebankan daripada segi kedaulatan negara.
Pelantikan itu, katanya, bagi menjelaskan dan memberi nasihat mengenai semua artikel berkaitan takrifan, skop, tanggungjawab dan penguatkuasaan perjanjian.
“Kami juga menggesa kerajaan menubuhkan satu pasukan khas terdiri daripada pakar perdagangan antarabangsa termasuk ahli ekonomi bagi menjalankan analisis kos-faedah komprehensif ke atas perjanjian ini untuk mengkaji dan mengunjurkan kesan terhadap keluaran dalam negara kasar, akses pasaran, imbangan dagangan.
“Selain itu, kebimbangan mengenai pengaliran keluar mata wang dan aliran pelaburan antara AS dan Malaysia serta melaporkan perkara sama kepada Parlimen,” katanya. – UTUSAN










