PETALING JAYA: Beregu campuran utama negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei tidak memberi ruang langsung kepada lawan apabila mara ke separuh akhir Terbuka Jepun dengan kemenangan meyakinkan ke atas wakil tuan rumah, hari ini.
Turun selaku pilihan keempat, mereka menundukkan gandingan Jepun, Yuichi Shimogami-Sayaka Hobara 21-14, 21-12 dalam tempoh hanya 32 minit di Gimnasium Metropolitan Tokyo.
Pasangan ranking keempat dunia itu tampil cukup dominan terutama di set kedua apabila mendahului 15-0 sebelum menamatkan aksi dengan penuh bergaya.
Kemaraan ini adalah kali keempat mereka ke separuh akhir musim ini dan yang kedua secara berturut-turut selepas pencapaian sama di Terbuka Indonesia.
Hasrat melihat pertemuan rakan senegara tidak kesampaian apabila pasangan profesional, Goh Soon Huat-Shevon Lai tersingkir selepas tewas kepada pilihan kedua dari China, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin.
Pasangan suami isteri itu cuba bangkit di set kedua tetapi tewas juga 13-21, 21-23 untuk rekod kekalahan ketiga berturut-turut di peringkat suku akhir.
Tang Jie-Ee Wei kini bakal menentang lawan yang sama menyingkirkan mereka di Terbuka Jepun tahun lalu dan pastinya berpeluang melunaskan dendam di separuh akhir, esok. – UTUSAN