LONDON: Iga Swiatek menamatkan penantian panjang apabila akhirnya menjuarai Wimbledon buat kali pertama selepas menumpaskan Amanda Anisimova dari Amerika Syarikat (AS) 6-0, 6-0 di pentas final, awal pagi tadi.
Pemain pilihan kelapan dari Poland itu menambah kejuaraan Grand Slam keenam dalam koleksi selepas empat gelaran Terbuka Perancis dan satu Terbuka AS.
“Ya, memang saya tidak sangka langsung. Sejujurnya saya tidak pernah terfikir akan bermain di final Wimbledon.
“Saya rasa saya dah lalui semua di gelanggang tapi rupa-rupanya saya belum pernah bermain dengan baik di atas rumput,” kata Swiatek.
Swiatek sebelum ini tidak pernah melepasi suku akhir kejohanan tersebut biarpun pernah muncul juara remaja Wimbledon tujuh tahun lalu.
Kemenangan ini lebih manis selepas musim 2025 yang penuh cabaran termasuk tewas di separuh akhir Terbuka Australia dan Terbuka Perancis, selain digantung sebulan akibat isu doping.
Swiatek bangkit dengan latihan di Mallorca serta kejayaan mara ke final di Bad Homburg sebelum menampilkan aksi sempurna di SW19.
Dia menjadi pemain pertama dalam era Terbuka menang final Wimbledon tanpa melepaskan sebarang permainan. – AGENSI