Stesen Pintar SK Nilai Impian bantu murid autisme

Stesen Pintar SK Nilai Impian bantu murid autisme

IZZAT Fadhli Hamdan dan murid-muridnya bersama alat bantuan mengajar SteP yang dihasillkannya ketika ditemui di SK Nilai Impian, Nilai, Seremban. – UTUSAN/NOR SHAFIQAH MOHD GHAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Tidak memerlukan modal besar, cukup dengan menggunakan batang paip polivinil klorida (PVC), seorang guru daripada Sekolah Kebangsaan (SK) Nilai Impian, berjaya menghasilkan alat bantuan mengajar untuk murid berkeperluan khas khususnya autisme.

Guru Pendidikan Jasmani , Izzat Fadhli Hamdan, 37, berkata, pengalamannya mengajar murid berkeperluan khas memberikannya idea untuk menghasilkan alat bantu mengajar yang diberi nama Stesen Pintar (SteP) khusus untuk murid autistik kekal fokus, aktif dan seronok ketika belajar.

Katanya, alat tersebut direka bagi menggantikan penggunaan gelung rotan konvensional kepada bentuk petak modular yang boleh disambung, disusun dan diubah suai selain mempunyai ketahanan yang tinggi serta lebih selamat digunakan.

“Biasanya murid autisme cepat hilang fokus jika proses pembelajaran tidak diselang-seli dengan aktiviti, paling lama pun mereka boleh fokus adalah selama lima minit.
“Jadi saya fikir, kalau ada satu alat yang boleh rangsang minat dan bantu mereka bergerak secara terkawal, ia akan bantu proses pembelajaran.

“SteP ini saya cipta dengan bahan mudah dan murah iaitu paip PVC. Murid boleh buka, susun dan bentuk stesen ikut kreativiti sendiri sambil mereka belajar tentang koordinasi, kelenturan dan tindak balas motor.” katanya ketika ditemui Utusan Pelajar baru-baru ini.

Katanya, alat bantuan mengajar itu pada asalnya dibangunkan ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) beberapa tahun lalu untuk digunakan ibu bapa yang menjaga anak-anak autisme di rumah.

“Penggunaan bentuk petak memudahkan guru atau ibu bapa memasang peralatan tambahan seperti lampu atau loceng bagi menarik minat murid. Saya fikir cara paling mudah dan murah. Murid boleh sambung-sambung batang paip macam lego tetapi versi lebih besar, tekan loceng dan lihat lampu menyala.

 

 

“Saya buat sesi Google Meet dan tunjuk ibu bapa cara hasilkan sendiri. Saya turut menghasilkan sendiri video panduan di YouTube bagi membolehkan ibubapa memasang mengikut model-model tertentu di rumah serta menghiasnya mengikut kreativiti masing-masing.

”Alhamdulillah, maklum balas sangat positif kerana mereka boleh membelinya sendiri dengan kos murah. Anak-anak lebih tenang dan ibu bapa pun rasa lebih terkawal,” katanya lagi.

Menariknya, kata Izzat Fadhli, SteP juga boleh digunakan oleh murid yang mempunyai masalah pembelajaran seperti disleksia, selain ia juga sesuai digunakan di luar bilik darjah dan di rumah menjadikannya fleksibel sebagai alat bantu pembelajaran sambil bermain.

“Alat ini sesuai digunakan seawal usia empat tahun lagi. Kanak-kanak memang memerlukan rangsangan pergerakan, jadi bila mereka bermain sambil belajar, mereka seronok dan lebih fokus sekali gus dapat merangsang kemahiran mereka, malah dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan.”

Dalam pada itu, beliau juga meluahkan rasa terharu apabila seorang muridnya yang juga merupakan orang kurang upaya (OKU) fizikal lebih yakin untuk bergaul bersama rakannya selepas menggunakan alat tersebut.

”Dulu, saya ada seorang murid perempuan, namanya Felicia, dia bergerak menggunakan bantuan kerusi roda. Sebelum saya perkenalkan alat ini, dia seorang yang malu-malu untuk bermain dengan rakannya dan kurang nak berinteraksi ketika dalam kelas,” ujarnya.

Izzat Fahdli turut berharap penggunaan SteP dapat diperluaskan dalam kalangan guru-guru dan ibu bapa sehingga di peringkat sekolah menengah bagi memastikan murid berkeperluan khas dapat belajar dan bermain sama seperti anak-anak normal yang lain.

 

Usahanya itu juga mendapat sokongan penuh daripada Guru Besar SK Nilai Impian, Nor Baizura Kamarudin, 45, yang sentiasa menggalakkan guru-guru untuk berinovasi serta membuat kajian tindakan bagi menyelesaikan isu sepanjang sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) bagi memastikan tiada murid yang tercicir dalam pendidikan.

Nor Baizura berkata, walaupun sekolahnya baharu ditubuhkan serta belum memiliki kelas Pendidikan Khas Integrasi (PPKI), inisiatif tersebut membuktikan keprihatinan dan usaha pendidik dalam membantu murid yang mempunyai masalah pembelajaran khususnya murid autistik.

”Sekolah kami tiada program PPKI, tetapi kami sering menerima pelajar yang mempunyai masalah pembelajaran terutamanya autisme. Dulu kami ada seorang murid autisme, jadi kami meminta cikgu Izzat untuk mencuba sesuatu bagi membantu murid tersebut,” ujarnya.

Nor Baizura juga berharap budaya guru berinovasi akan diteruskan agar dapat menjadikan PdP lebih menarik sekali gus membantu murid berkeperluan khas untuk belajar dengan gembira di sekolah. Yasmin Samrizat Sazli, 10, dan Aisyah Humaira’ Tasneem Izzat Fadhli, 11, turut terlibat membantu sebagai usaha mereka menyokong rakan-rakan kelas pendidikan khas. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN