PETALING JAYA: Peguam mewakili isteri Albert Tei memberi masa sehingga esok kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi mengeluarkan inventori rampasan penuh, susulan penahanan ahli perniagaan itu.
Rajesh Nagarajan turut menuntut SPRM mengemukakan senarai penuh setiap item yang dirampas berserta butiran pegawai terlibat, tarikh rampasan, lokasi barang disimpan dan alasan sah penahanan.
“Sekiranya gagal, kami akan memulakan tindakan undang-undang termasuk semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi serta membuat aduan kepada Jawatankuasa Aduan SPRM dan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC).
“Semakan kehakiman itu juga bagi mendapatkan perintah pemulangan mandatori harta yang ditahan secara tidak sah serta pengisytiharan ketidakpatuhan dan ketidakperlembagaan prosedur yang dilakukan SPRM,” katanya dalam kenyataan semalam.
Selepas ditahan, Albert dibawa ke Mahkamah Majistret, Putrajaya dan direman selama enam hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009.
Tuntutan tersebut terkandung dalam surat bertarikh 30 November 2025 ditandatangani Rajesh yang dimajukan kepada SPRM melalui Tetuan Raj & Sach selaku firma guaman yang mewakili Lee Pei Rie.
Dalam surat tersebut, Rajesh mendakwa pegawai SPRM telah melakukan beberapa pelanggaran serius ketika operasi di rumah Albert di Taman Meranti Damai, Puchong pada 28 November lalu.
“Pegawai SPRM telah masuk secara paksaan ke dalam kediaman Albert dan memadam kandungan telefon miliknya dan ahli keluarga beliau tanpa kebenaran.
“Mereka juga telah merampas beberapa barangan termasuk dekoder kamera litar tertutup (CCTV) tanpa dokumentasi serta mengacukan senjata api ke arah Pei Ree sehingga menyebabkan tekanan emosi,” katanya.
Rajesh berkata, tindakan pegawai SPRM yang didakwa gagal menyediakan senarai rampasan bertandatangan seperti diwajibkan Seksyen 31 Akta SPRM 2009 merupakan satu bentuk pelanggaran undang-undang dan boleh dianggap sebagai perbuatan mencuri dan bukannya rampasan secara sah.
Jelasnya, SPRM juga didakwa tidak memaklumkan lokasi penyimpanan dan asas penahanan harta sebagaimana ditetapkan Seksyen 34 akta sama.-UTUSAN.










