Keputusan rayuan Da’i Syed pada 23 Jan.

Keputusan rayuan Da’i Syed pada 23 Jan.

DA’I Syed atau Syed Shah Iqmal Syed Mohd. Shaiful (kiri) bersama isteri dan peguamnya meninggalkan Mahkamah Tinggi Shah Alam selepas menghadiri prosiding hujahan rayuan berhubung sabitan dan hukuman pertuduhan rogol dihadapinya di Shah Alam, Selangor semalam. – UTUSAN / SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Keputusan rayuan terhadap pendakwah selebriti, Da’i Syed yang dikenakan hukuman penjara 10 tahun dan tiga sebatan atas kesalahan merogol tahun lalu ditetapkan pada 23 Januari tahun hadapan.

Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, Adlin Abdul Majid menetapkan tarikh tersebut semalam selepas mendengar hujahan kedua-dua belah pihak pemohon dan pendakwaan.

Terdahulu, dalam hujahan pemohon, Da’i Syed atau nama sebenarnya Syed Shah Iqmal Syed Mohd. Shaiful, 30, yang diwakili peguam Mohamed Baharudeen Mohamed Ariff memberitahu naratif pendakwaan tidak selari berdasarkan consent atau kerelaan daripada mangsa.

“Mereka kata tertuduh (Da’i Syed) mengancam mangsa, kemudian pula tekanan mental. Adakah terbukti? Persoalannya dari mana datang, yang mana naratif dan apakah kes sebenar­nya?

“Kalau bergantung kepada consent, kemudian tekanan mental dan ketakutan, ia tidak akan dihujahkan secara panjang lebar. Kalau (betul) mangsa berdepan tekanan mental, ia tidak lagi menjadi kebenaran, tetapi menjurus terus kepada bukti,” katanya.

Hakim dalam celahannya memberikan pandangan dan meminta hujahan daripada pemohon berhubung tertuduh ketika itu dikatakan tidak mendapat keizinan daripada mangsa kerana tekanan mental dialaminya berdasarkan pemahaman terhadap situasi tersebut.

“Mentalnya yang tidak stabil (ketika) itu menyebabkan mang­sa tidak dapat menjangka akibat (daripada perbuatan seksual). Tanpa ‘kerelaan’ (boleh) terpakai kerana wanita itu ada masalah mental sehingga terganggu fungsi kognitifnya,” ujarnya.

Mohamed Baharudeen kemudian membalas, persoalan sebenar yang timbul adalah naratif pendakwaan yang tersasar sama ada fokus kepada kerelaan atau masalah mental.

“Persoalannya kenapa isu ketakutan atau ancaman wujud (dalam naratif kes). Ia wujud merata-rata dalam naratif yang boleh menjurus kepada keraguan kepada tertuduh. Kena pilih sama ada masalah mental atau kerelaan,” tegasnya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Maizatul Munirah Abdul Rahman sebagai responden memaklumkan pada peringkat pendakwaan, elemen pertuduhan terhadap tertuduh adalah seksual tanpa kerelaan mangsa, termasuk hujahan kepada Mahkamah Tinggi bagi penangguhan hukuman sebelum ini.

“Seperti mana dalam kes ini, mangsa mengikut tertuduh ke rumahnya tidak boleh secara automatik dikatakan mangsa rela melakukannya,” katanya.

Tambahnya, persetubuhan yang dilakukan oleh tertuduh terhadap mangsa yang dikatakan atas kerelaan wanita itu seperti yang dikatakan dalam pembelaan sebelum ini tidak disokong oleh sebarang keterangan secara lisan atau dokumen.

Ogos tahun lalu, Mahkamah Sesyen menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan tiga sebatan selepas didapati bersalah merogol seorang wanita dalam unit sebuah kondominium di sini, lima tahun lalu.

Syed Shah Iqmal didakwa merogol seorang wanita berusia 23 tahun (ketika kejadian) kira-kira pukul 1.35 pagi pada 11 September 2019. Oleh itu dia dituduh mengikut Seksyen 375 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN