KUALA LUMPUR: Majlis Pentadbiran Negara (SAC) digesa mencari penyelesaian konsisten bagi menjamin keamanan serta mewujudkan persekitaran yang sesuai selaras dengan aspirasi rakyat Myanmar.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, ini kerana sehingga kini, ASEAN masih lagi belum melihat perkembangan positif tentang krisis di negara itu.
“Kelewatan mencapai keamanan di Myanmar hanya memanjangkan penderitaan rakyatnya dan mengancam keselamatan serantau.
“Jadi, kita menggesa agar pengisytiharan gencatan senjata diterjemahkan kepada tindakan yang konkrit,” katanya ketika berucap pada Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN ke- 58 (Sesi Plenari) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di sini hari ini.
Pada masa sama, Mohamad berkata, dialog dan penyelesaian secara aman dilihat antara mekanisme yang diperlukan ketika ini bagi mencapai matlamat tersebut.
“Kita sedang menyaksikan keruntuhan nilai kemanusiaan serta norma moral dan undang-undang yang pernah mendasari sistem global. Multilateralisme sedang diserang. Unilateralisme dan nasionalisme pula semakin meningkat,” katanya.
Dalam hal ini, Mohamad sekali lagi menegaskan, ASEAN merupakan aset terpenting dalam memelihara perpaduan dan keamanan negara sekali gus negara-negara anggota perlu terus menggunakan kekuatan untuk menghimpunkan pihak-pihak berkaitan.
Katanya, ia bagi mempromosikan dialog, diplomasi dan kepercayaan strategik untuk mewujudkan ruang kerjasama.
“Laluan di hadapan tidak mudah. Tekanan luar terhadap perpaduan kita semakin meningkat. Desakan supaya kita memilih pihak akan semakin kuat. Krisis global juga akan bertambah.
“Di tengah ketidakpastian dan cabaran global yang belum pernah berlaku sebelum ini, ASEAN mesti tetap teguh. ASEAN mesti menjadi mercu harapan, suara kewarasan dan terus menjadi platform kerjasama serta kemakmuran,” katanya.
Menurut beliau lagi, bagi mengharungi cabaran mendatang, setiap langkah yang diambil perlu difikirkan untuk jangka masa panjang dan perlu bertindak dengan hala tuju yang tepat.
“Kita perlu merancang laluan dan meletakkan asas yang kukuh. Visi komuniti ASEAN 2045 ini menjadi panduan hala tuju kita untuk dua dekad akan datang. Ia menegaskan bahawa masa depan ASEAN terletak di tangan kita sendiri.
“Kerja ini perlu dimulakan sekarang. Semua badan sektoral, institusi dan mekanisme ASEAN perlu mula menyelaraskan keutamaan masing-masing untuk menyokong pelaksanaan keputusan terbaru kita dan ASEAN 2045: Masa Depan Bersama Kita,” katanya. – UTUSAN