PARLIMEN: Perdagangan dua hala Malaysia-India cecah AS$19 bilion

PARLIMEN: Perdagangan dua hala Malaysia-India cecah AS$19 bilion

MOHAMAD HASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Hubungan perdagangan dua hala Malaysia dan India yang hampir mencecah AS$19 bilion pada 2025 memberikan lebihan dagangan serta menguntungkan negara ini.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, hubungan antara kedua-dua negara bukan perkara baharu kerana jalinan antara rakyat Malaysia dan India telah lama wujud, malah sebelum hubungan diplomatik dua hala dimeterai secara rasmi pada 1957.

“Perdagangan dua hala ini menguntungkan Malaysia kerana India mengimport lebih banyak barangan dari Malaysia berbanding Malaysia mengimport barangan dari India.

“Majoriti eksport Malaysia ke India melibatkan minyak kelapa sawit serta barangan elektrik dan elektronik, manakala Malaysia mengimport barangan semikonduktor serta barangan industri dari India, sekali gus menjadi asas kukuh kepada hubungan perdagangan kedua-dua negara,” katanya ketika sesi Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Lim Guan Eng (PH-Bagan) mengenai hasil perdagangan dan keselamatan serantau susulan lawatan Perdana Menteri India baru-baru ini serta langkah bersama yang boleh diambil terhadap pelaksanaan tarif Amerika Syarikat dan usaha memulihkan demokrasi serta keamanan di Myanmar.

Mohamad berkata, lawatan rasmi Perdana Menteri India ke Malaysia merupakan usaha merapatkan lagi hubungan dua hala antara kedua-dua negara, selain sebagai lawatan balas sempena lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke India pada hujung 2024

“Fokus kini bukan sekadar mengeratkan hubungan, sebaliknya memperkasakan kerjasama dalam perdagangan, keselamatan dan keselamatan siber, selain memudahcara kemudahan pelancong kedua-dua negara.

“Pelancong India yang datang ke Malaysia pada tahun 2025 dijangka seramai 1.56 juta orang, manakala Malaysia mencatatkan kedatangan pelancong tertinggi di Asia Tenggara iaitu seramai 40 juta orang, sekali gus mengatasi Thailand dan menjadi sumber ekonomi besar kepada negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×