Malaysia bantah dua undang-undang baharu maritim Filipina

Malaysia bantah dua undang-undang baharu maritim Filipina

MOHAMAD HASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Malaysia membuat bantahan rasmi terhadap dua undang-undang maritim iaitu Akta Zon Maritim Filipina dan Akta Laluan Laut Kepulauan Filipina kerana melibatkan zon serta fitur maritim negara berdasarkan Peta Baru Malaysia 1979.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, Malaysia akan terus mempertahankan kedaulatan, hak kedaulatan dan kepentingan negara selaras prinsip undang-undang antarabangsa termasuk Konvensyen Undang-Undang Laut Antarabangsa (KUUL) 1982.

Beliau berkata, dua undang-undang tersebut berdasarkan Peta Baru Malaysia 1979 juga menyentuh soal kedaulatan, hak kedaulatan, bidang kuasa dan kepentingan negara.

“Sabah merupakan sebahagian daripada Malaysia dan perkara itu diiktiraf masyarakat antarabangsa. Rakyat Sabah telah melaksanakan hak menentukan sendiri status kedudukan negeri itu untuk berada dalam Persekutuan Malaysia.

“Laporan Suruhanjaya Cobbold bertarikh 1 Ogos 1962 kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyatakan lebih daripada dua pertiga rakyat Sabah memilih untuk menyertai Malaysia pada 1963,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman rasmi Parlimen hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Dr. Jeffery Gapari Kitingan (GRS-Keningau) mengenai tindakan kerajaan dalam mempertikaikan dan menidakkan langkah Filipina berkaitan perkara tersebut.

Mohamad berkata, pada 14 September 1963, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) turut melaporkan kepada Perhimpunan Agung PBB bahawa rakyat Sabah menyokong penyertaan negeri itu dalam Persekutuan Malaysia.

Pada 7 November 2024, Presiden Filipina, Ferdinand Romualdez Marcos Jr. menandatangani dua undang-undang maritim iaitu Akta Zon Maritim Filipina dan Akta Laluan Laut Kepulauan Filipina.

Akta Laluan Laut Kepulauan Filipina 2024 merupakan undang-undang baharu bagi tujuan pentadbiran serta pelaksanaan laluan laut kepulauan terhadap kapal dan pesawat negara asing oleh kerajaan republik itu.

Pada hari sama, Presiden Filipina turut meluluskan Akta Zon Maritim Filipina 2024 yang mengisytiharkan zon maritim negara tersebut yang didakwa berada dalam bidang kuasanya.

“Berdasarkan Seksyen 7 Akta Laluan Laut Kepulauan Filipina 2024, peruntukan itu merujuk kepada definisi Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) Filipina yang terdapat dalam Presidential Decree No. 1596 dan 1599 tahun 1978.

“Berdasarkan koordinat dalam Presidential Decree No. 1596 tahun 1978, kawasan berkenaan didapati menceroboh kawasan maritim Malaysia di utara Sabah berdasarkan Peta Baru Malaysia 1979,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN