RUU Pekerja Gig dibentang Ogos ini, lindungi 1.12 juta pekerja

RUU Pekerja Gig dibentang Ogos ini, lindungi 1.12 juta pekerja

AHMAD Zahid Hamidi pada Sesi Meja Bulat Ekonomi Perkongsian dan Industri Gig di sini, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGI: Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig dijangka dibentangkan dalam sidang Parlimen pada Ogos ini, sekali gus menjadi penanda aras baharu dalam perlindungan sosial kepada lebih 1.12 juta pekerja dalam sektor ekonomi gig negara.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, RUU itu merangkumi pekerja gig berasaskan platform dan bukan platform serta bakal menjadi penanda aras global dalam aspek perlindungan pekerja dalam ekonomi digital.

“Langkah ini amat penting untuk memastikan keadilan sosial dengan menyeimbangkan kebajikan pekerja gig dan keperluan fleksibiliti operasi penyedia platform digital.

“Sesi ini menghimpunkan lebih 100 peserta termasuk wakil kementerian dan lebih 80 penyedia platform gig dari seluruh negara bagi membincangkan dua agenda utama iaitu penggubalan RUU Pekerja Gig serta penubuhan Suruhanjaya Ekonomi Gig Malaysia (SEGiM),” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar pada Sesi Meja Bulat Ekonomi Perkongsian dan Industri Gig di sini, hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, sesi berkenaan menjadi sebahagian daripada proses konsultasi menyeluruh kerajaan untuk memperkukuh ekosistem ekonomi gig melalui pendekatan dasar yang inklusif dan progresif.

Katanya, selain pembentangan RUU, kerajaan juga akan menubuhkan SEGiM yang berperanan sebagai badan pelaksana, penyelaras dan pemantau utama sektor gig negara.

“SEGiM akan memastikan pematuhan piawaian industri, pelaksanaan dasar yang telus serta memperkukuh amalan kawal selia kendiri dalam kalangan penyedia platform.

“Suruhanjaya itu akan diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) bagi memastikan penyelarasan dasar secara bersepadu di peringkat nasional, manakala Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) pula akan terus berperanan sebagai sekretariat teknikal,” ujarnya.

Pada masa sama, Ahmad Zahid berkata, MDEC akan menyatukan input industri dan menyelaras sesi libat urus bersama Kementerian Sumber Manusia (KESUMA), Kementerian Pengangkutan (MOT) serta agensi berkaitan.

“Kita mahu wujudkan keseimbangan antara kepentingan industri dan kebajikan pekerja gig, agar sektor ini terus menjadi pemacu utama kepada ekonomi digital negara yang adil, responsif dan mampan.

“Dengan kerjasama semua pihak, saya yakin Malaysia mampu menjadi peneraju dalam membangunkan ekosistem ekonomi gig yang berdaya tahan dan berpaksikan kesejahteraan rakyat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN