Tindakan sewajarnya terhadap pelajar pijak al-Quran

Tindakan sewajarnya terhadap pelajar pijak al-Quran

AHMAD Zahid Hamidi menandatangi plak sebagai simbolik perasmian Mydin Mart Bagan Datuk hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGAN DATUK: Tindakan sewajarnya perlu dikenakan terhadap pelajar universiti yang didakwa terbabit dalam perbuatan menghina al-Quran dengan memijak kitab suci berkenaan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, perbuatan itu tidak seharusnya berlaku dalam sebuah negara berbilang kaum dan agama seperti Malaysia.

“Kita sangat memahami bahawa sebagai sebuah negara yang mempunyai masyarakat majmuk dengan pelbagai agama dan kaum, perkara-perkara ini tidak seharusnya berlaku.

“Kita hendaklah menghormati apa juga agama seperti yang dinyatakan dalam al-Quran yang menyebutkan ‘bagi kamu agama kamu, dan bagiku agamaku’.

“Untuk agama kita dihormati, kita mesti menghormati agama lain. Tindakan sedemikian (pijak al-Quran) sama sekali tidak sepatutnya berlaku dalam apa jua keadaan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan pembukaan Mydin Mart Bagan Datuk di Hutan Melintang, di sini hari ini.

Menurut Ahmad Zahid, semua pihak perlu menghormati Islam sebagai agama agama rasmi negara dan al-Quran merupakan kitab suci umat Islam.

Justeru itu katanya, adalah tidak wajar untuk seorang mahasiswa institusi pengajian tinggi yang dianggap sebagai golongan intelek melakukan perbuatan sedemikian.

“Seorang mahasiswa yang dianggap sebagai golongan intelektual tidak seharusnya bertindak mengikut emosi sehingga melakukan perbuatan yang jelas bertujuan menghina

“Saya harap selepas hukuman dikenakan, dia dan mana-mana pihak tidak akan melakukan perbuatan sama. Kita tidak mahu peristiwa ini berulang dan pengajaran sewajarnya mesti diberikan kepada pelaku berkenaan,” katanya.

Sementara itu, ditanya mengenai isu tersebut yang kini menjadi perdebatan warga maya, Ahmad Zahid meminta semua pihak agar tidak mengikut emosi sebaliknya menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menangani kes berkenaan.

“Saya fikir itu perasaan yang timbul apabila agama dihina. Mana-mana agama pun kalau dihina tentunya pengikut-pengikut akan merasa tersinggung.

“Saya harap tindakan yang sedang dilakukan oleh pihak berkuasa akan dapat meredakan keadaan. Jangan mengikut emosi, tetapi biarlah kita serah kepada pihak berkuasa untuk menangani kesalahan yang dilakukan oleh pelaku berkenaan,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan, seorang penuntut universiti tempatan ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung penyebaran kandungan berunsur agama, kaum dan institusi diraja (3R) dalam media sosial. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN