PETALING JAYA: UMNO menubuhkan Musyawarah Nasional sebagai platform perbincangan strategik yang menghimpunkan tokoh masyarakat, ilmuwan, profesional, pemain industri serta wakil masyarakat sivil bagi membincangkan isu-isu penting yang menentukan hala tuju bangsa dan negara.
Inisiatif yang diumumkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dalam ucapan dasar Perhimpunan Agung UMNO (PAU) dua bulan lalu itu merupakan usaha memperkukuh kesepakatan nasional secara lebih tersusun dan menyeluruh.
Pengerusi Musyawarah Nasional, Tan Sri Abdul Ghani Othman berkata, penubuhan platform itu adalah berasaskan semangat musyawarah dalam mencari penyelesaian terhadap cabaran semasa negara.
Menurutnya, Musyawarah Nasional bukan sekadar medan perbincangan, sebaliknya ruang perundingan dasar yang memfokuskan pembinaan kesepakatan serta penghasilan cadangan praktikal dan boleh dilaksanakan demi memartabatkan pembangunan bangsa.
“Antara bidang tumpuan utama termasuk pembangunan insan dan pendidikan, pemerkasaan ekonomi, pengukuhan institusi masyarakat serta usaha mempertingkat kesejahteraan sosial secara menyeluruh.
“Bagi memastikan usaha ini bergerak secara tersusun, sebuah Sekretariat Musyawarah Nasional akan menyelaras agenda dialog, penyelidikan dasar, libat urus pemegang taruh serta pelaksanaan inisiatif rintis yang akan dinilai impaknya secara berkala.
“Langkah ini bertujuan memastikan setiap cadangan yang dihasilkan memberi manfaat nyata kepada masyarakat dan negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Abdul Ghani berkata, dalam suasana dunia yang semakin mencabar, negara memerlukan lebih banyak ruang dialog yang matang dan membina bagi merapatkan jurang perbezaan pandangan.
“Musyawarah Nasional ini diharap menjadi wadah untuk memperkukuh persefahaman serta menyumbang kepada pembinaan masa depan Malaysia yang lebih stabil, inklusif dan sejahtera,” katanya. – UTUSAN










