JOHOR BAHRU: Rakyat Singapura yang memasuki negara ini menggunakan kenderaan persendirian akur dengan pelaksanaan Permit Kemasukan Kenderaan (VEP) bermula hari ini.
Seorang rakyat republik itu yang menjadi antara individu terawal dikenakan saman RM300, Mohd. Zulhadis Zulkifli, 38, memberitahu kurang maklum tentang prosedur pendaftaran sebelum ini walaupun sudah mendaftar sejak pertengahan Mac lalu.
“Kemudian saya tunggu maklum balas apa langkah perlu dibuat seterusnya, saya tidak tahu perlu aktifkan dan akur menerima saman ini. Ia tidaklah menyusahkan rakyat Singapura, cuma mungkin ada segelintir yang kurang faham prosedur perlu dibuat, tetapi sekarang saya sudah tahu,” katanya ketika ditemui pada operasi VEP di laluan keluar Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI), di sini semalam.
Mohd. Zulhadis yang menetap di Clementi menasihati rakyat Singapura yang mahu memandu kenderaan persendirian memasuki Malaysia supaya mematuhi undang-undang negara ini dengan mendaftar dan mengaktifkan tag Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) kenderaan masing-masing.
Seorang lagi warga Singapura yang turut disaman, namun hanya mahu dikenali sebagai Yeo, 34, memberitahu telah menerima maklumat yang tidak tepat daripada majikannya.
“Kenderaan yang saya guna ini adalah kenderaan syarikat dan sebelum ini majikan beritahu hanya kenderaan milik peribadi yang perlu daftar VEP, tetapi sebenarnya kenderaan syarikat juga perlu berdaftar. Jadi, saya akan beritahu perkara ini kepada majikan agar pendaftaran boleh dibuat segera melibatkan semua kenderaan milik syarikat,” katanya.
Adi Sharif, 27, pula telah mendaftar dan mengaktifkan tag RFID kenderaannya pada Februari lalu kerana kerap berulang-alik antara Malaysia dan Singapura..
“Bagi saya ia tidak sukar, pemasangan tag RFID dibuat dengan pantas selain kakitangan di pusat terlibat sangat mesra dan membantu melancarkan proses,” katanya sambil memuji pelaksanaan VEP demi meningkatkan keselamatan jalan raya.
Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Aedy Fadly Ramli memaklumkan, sebanyak 209,853 kenderaan pendaftaran Singapura telah memasang dan mengaktifkan teknologi RFID setakat ini, namun masih terdapat 42,416 pemilik kenderaan yang belum memasang atau mengaktifkan RFID mereka walaupun pemakluman dibuat sejak tujuh tahun lalu.
“Bermula hari ini, kita akan jalankan penguatkuasaan VEP terhadap kenderaan berpendaftaran Singapura.
“Bagi minggu-minggu pertama pelaksanaannya tumpuan penguatkuasaan akan dibuat di Johor terlebih dahulu dan kemudian pemeriksaan diperluaskan secara berperingkat-peringkat di seluruh negara, khususnya melibatkan kawasan-kawasan yang kerap dikunjungi rakyat Singapura,” katanya.
Tegasnya, kenderaan berpendaftaran Singapura yang dikesan tidak memasang atau mengaktifkan RFID akan dikenakan saman RM300 serta-merta.
“Semasa kenderaan itu memasuki Malaysia di CIQ, kita boleh kesan mereka tidak mempunyai VEP, namun penguatkuasaan tidak dibuat di lokasi tersebut bagi mengelak kesesakan aliran trafik. Mereka akan berdepan kesukaran untuk meninggalkan negara ini sekiranya saman itu tidak dibayar dan VEP tidak diaktifkan,” katanya sambil memaklumkan pusat pemasangan tag RFID di Johor Bahru dan Woodlands, Singapura kini beroperasi 24 jam. – UTUSAN