PETALING JAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Brazil bagi menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin BRICS Ke-17.
Perdana Menteri berkata, kehadiran beliau dan delegasi atas jemputan Presiden, Lula da Silva itu merupakan penghormatan besar kepada Malaysia selaku Negara Rakan dan Pengerusi ASEAN.
Anwar berkata, sepanjang Sidang Kemuncak, beliau dijadualkan mengadakan pertemuan bersama beberapa pimpinan negara lain yang turut hadir.
Beliau juga akan menyantuni komuniti perniagaan tempatan bagi meneroka potensi kerjasama strategik dan pelaburan baharu.
“Insya-Allah, penyertaan Malaysia dalam BRICS kali ini akan dimanfaatkan sebaik mungkin untuk memperkukuh kerjasama Selatan-Selatan dan membawa suara ASEAN ke pentas global secara lebih berkesan,” katanya menerusi Facebook hari ini. – UTUSAN