KUALA LUMPUR : Polis sudah mengenal pasti saksi penting dalam kes ugutan bunuh membabitkan seorang pengarah sebuah syarikat yang juga Exco Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada)
Ini susulan laporan polis daripada Exco Armada Bersatu, Na’im Brundage pada 9.13 malam, Rabu lalu berhubung ugutan terbabit.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, hasil siasatan mendapati pengadu tidak mengenali suspek yang didakwa merancang untuk membunuhnya.
Menurutnya, dua orang saksi telah dipanggil dan dirakam percakapan bagi tujuan membantu siasatan.
“Polis juga mengenal pasti seorang saksi penting berkaitan kes ini dan akan dipanggil untuk dirakam percakapan.
“Kami percaya keterangan saksi ini adalah kunci untuk menjejaki pelaku terlibat dan memperjelaskan motif ugutan ke atas pengadu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sulizmie berkata, bagaimanapun tiada sebarang tangkapan ke atas mana-mana individu dilakukan setakat ini.
Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 507 Kanun Keseksaan atas kesalahan menakutkan secara jenayah melalui perantaraan nama yang disembunyikan.
“Kami sedang giat mengesan identitk suspek terlibat dan melakukan siasatan daripada semua segi serta memberi jaminan dengan keselamatan pengadu diberi keutamaan,” katanya.
Terdahulu media melaporkan, Na’im mendedahkan menerima ugutan bunuh termasuk ancaman untuk disimbah asid oleh individu tidak dikenali.-UTUSAN