'Kami semua orang Presiden’

‘Kami semua orang Presiden’

MOHD. Radzi Jidin (tengah) ditemui pemberita selepas merasmikan Persidangan Bersatu Bahagian Rembau hari ini.-UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

REMBAU: Dakwaan wujudnya usaha menjatuhkan kepimpinan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah tidak benar dan hanyalah khabar angin.

Naib Presiden Bersatu, Datuk Dr. Mohd. Radzi Jidin berkata, malah keputusan yang dibuat oleh perwakilan pada pemilihan parti sebelum ini  adalah seperti mana yang dihasratkan oleh Muhyiddin.

“Itu semata-mata kabar angin tidak ada kebenaran. Ini tak perlu sumber-sumber, ini direct (sumber sahih). Sebelum berlaku pemilihan parti tahun lalu, Tan Sri (Muhyiddin) telah membuat kenyataan ingin melihat Datuk Seri Hamzah Zainudin naik sebagai Timbalan Presiden.

“Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu diberi ruang selaku Naib Presiden bersama saya dan juga Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee serta Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dilantik sebagai Setiausaha Agung.

“Lama sebelum permilihan parti dan akhirnya apabila pemilihan parti berlaku, keputusan yang dibuat oleh perwakilan adalah seperti mana yang diminta oleh presiden. Maknanya kami semua ini adalah orang presiden, kami semua ini adalah orang Tan Sri Muhyiddin. 

“Jadi tidak timbul isu lah, kononnya ada dalam Bersatu hendak jatuhkan Tan Sri dan sebagainya kerana jelas bahawa itulah yang dihasratkan oleh beliau dan kami semua bersama-sama telah dipilih oleh perwakilan berdasarkan mandat yang telah dinyatakan oleh yang berhormat Tan Sri Presiden,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Persidangan Bersatu Bahagian Rembau di sini hari ini.

Sementara itu, katanya, pelaksanaan dasar serta polisi Kerajaan Perpaduan yang dilihat tidak menentu kini boleh membuka peluang kepada peningkatan kepercayaan rakyat terhadap Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Mohd. Radzi Jidin berkata, walaupun situasi atau keadaan semasa berkenaan bukan penentu utama keputusan pilihan raya, namun ia boleh menjadi asas kepada kecenderungan pengundi menjelang PRU.

“Bila hendak masuk PRU, keadaan pada waktu itu akan menjadi asas kepada bagaimana tindakan pengundi. Saya sebutkan tadi bahawa swing ini boleh berlaku ke kiri dan ke kanan. 

“Namun begitu kalau kita lihat keadaan semasa, sekiranya kerajaan ini berterusan dengan polisi-polisi dan dasar-dasar tidak menentu ini, saya yakin bahawa rakyat akan melihat kerajaan ini tidak mampu untuk memimpin negara dan bersedia untuk memberi peluang kepada PN yang jelas,” katanya.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN