PETALING JAYA: Kedutaan Besar Malaysia di Phnom Penh menasihatkan rakyat Malaysia di Kemboja untuk mengelakkan perjalanan tidak penting ke wilayah Preah Vihear dan Oddar Meanchey susulan ketegangan semakin memuncak di sempadan negara itu dengan Thailand.
Kedutaan itu dalam kenyataan meminta rakyat Malaysia kekal bertenang dan sentiasa berwaspada terhadap perkembangan semasa di kawasan terlibat.
“Orang ramai juga dinasihatkan untuk mendapatkan maklumat hanya daripada sumber berita yang sahih serta mematuhi sepenuhnya sebarang arahan dan nasihat yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan dan agensi kerajaan.
“Kedutaan sedang memantau rapat situasi semasa dan kekal komited terhadap keselamatan serta kebajikan rakyat Malaysia di Kemboja,” menurut kenyataan itu.
Kedutaan turut menggalakkan rakyat Malaysia yang sedang menetap di Kemboja untuk mendaftar dengan pihak kedutaan melalui borang dalam talian yang boleh diakses menerusi imbasan kod QR atau pautan yang disediakan.
Sebarang pertanyaan atau keperluan bantuan boleh disalurkan melalui talian hotline 24 jam di +855 12 216 176 atau emel [email protected]. Maklumat lanjut boleh didapati melalui laman rasmi www.kln.gov.my/web/khm_phnom-penh/home. – UTUSAN










