KUALA LUMPUR: Perhimpunan Agung Antara Parlimen ASEAN (AIPA) Ke-46 menolak resolusi konflik di sempadan Thailand-Kemboja kerana bukan berada di bawah bidang kuasa pertubuhan itu.
Presiden AIPA, Tan Sri Johari Abdul berkata, AIPA adalah badan legislatif yang menghimpunkan penggubal undang-undang dan ahli Parlimen di seluruh ASEAN.
Katanya, konflik pertikaian sempadan di antara kedua-dua negara itu adalah melibatkan hal ehwal kerajaan Thailand dan Kemboja.
“Pihak kerajaan telah membuat keputusan untuk meneruskan usaha-usaha perdamaian. Gencatan senjata sudah berlaku dan usaha-usaha untuk mendamaikan (Thailand-Kemboja) juga sedang berlaku.
“Jadi adalah lebih baik kita (AIPA) menyerahkan tindakan ini kepada pihak eksekutif (kerajaan) dan sebagai legislatif (Parlimen) kita menyokong tindakan itu. Sebab itu, tidak sesuai untuk kita bincang benda yang sedang dilaksanakan oleh pihak eksekutif,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Penutup AIPA Ke-46 2025 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini hari ini.
Johari mengulas tindakan jawatankuasa AIPA menolak cadangan delegasi Kemboja untuk meletakkan konflik sempadan Thailand-Kemboja sebagai agenda segera di mesyuarat itu, selepas dibantah oleh delegasi Thailand.
Semasa sesi plenari AIPA, Presiden Parlimen Kemboja, Samdech Maha Rathsapheathika Thipadei Khuon Sudary mempersoalkan tindakan Thailand melanggar perjanjian gencatan senjata, menahan tentera secara tidak sah dan mencabuli kedaulatannya, serta mendesak ASEAN untuk campur tangan dan menghentikan penggunaan kekuatan tentera oleh Thailand.
Dalam pada itu, Johari yang juga Yang Dipertua Dewan Rakyat mengesahkan tiada sebarang resolusi mengenai Laut China Selatan yang dibincangkan sepanjang persidangan AIPA. – UTUSAN










