PETALING JAYA: Malaysia menghargai sumbangan konstruktif kuasa-kuasa besar seperti China dan Amerika Syarikat serta rakan-rakan ASEAN dalam menjayakan rundingan antara Thailand dan Kemboja.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ASEAN perlu terus kekal bersatu, berprinsip dan berpaksikan dialog dalam mendepani cabaran serantau dan global.
Anwar berkata demikian dalam hantaran Facebook selepas mengadakan perbincangan bersama Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr. menerusi panggilan telefon semalam yang menyentuh perkembangan semasa di rantau ini.
Selain itu, ia berkaitan lawatan Presiden Filipina itu ke Amerika Syarikat serta peranan penting ASEAN dalam memperkukuh kerjasama serantau.
“Kami turut membincangkan usaha perdamaian antara Kemboja dan Thailand yang semakin menampakkan hasil meskipun terdapat beberapa insiden yang mencabar proses tersebut.
“Malaysia menghargai sumbangan konstruktif kuasa-kuasa besar seperti China dan Amerika Syarikat serta rakan-rakan ASEAN dalam menjayakan rundingan ini.
“ASEAN perlu terus kekal bersatu, berprinsip dan berpaksikan dialog dalam mendepani tantangan serantau dan global,” katanya. – UTUSAN










