Mesyuarat trilateral bincang persiapan GBC

Mesyuarat trilateral bincang persiapan GBC

MOHAMED KHALED NORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Satu mesyuarat trilateral telah diadakan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin bersama rakan sejawatnya dari Kemboja dan Thailand, semalam, sebagai persiapan untuk mesyuarat Jawatankuasa Sempadan Am (GBC) antara kedua-dua negara itu di sini pada 7 Ogos ini.

Mohamed Khaled berkata, mesyuarat diadakan menerusi persidangan video itu disertai Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pertahanan Kemboja, Jeneral Tea Seiha, dan Pemangku Menteri Pertahanan Thailand, Jeneral Natthaphon Narkphanit.

“Mesyuarat itu adalah langkah awal yang penting dalam memastikan kelancaran mesyuarat GBC serta memperkukuh komitmen ASEAN dalam menangani isu-isu serantau secara damai dan konstruktif.

“Dengan semangat ASEAN, Malaysia komited sepenuhnya menyokong proses penyelesaian yang dipimpin ASEAN secara aman selaras dengan nilai-nilai serantau yang kita kongsi bersama,” katanya menerusi kenyataan yang dimuat naik di Facebook.

Mesyuarat tersebut turut disertai Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral Tan Sri Mohd. Nizam Jaffar serta Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pertahanan, Mohd. Yani Daud.

Mesyuarat GBC akan turut disertai oleh pemerhati dari Malaysia, Amerika Syarikat dan China, manakala perbincangan awal antara wakil Thailand dan Kemboja dijadual berlangsung dari 4 hingga 6 Ogos ini.

Mohamed Khaled berkata, perbincangan itu menggambarkan komitmen pihak terbabit untuk berunding secara aman dan dialog yang konstruktif.

“Semoga ia menyumbang ke arah tanggungjawab bersama kita untuk memelihara keamanan dan kestabilan di rantau ASEAN.

“Malaysia bersedia untuk memastikan kelancaran dan menyokong setiap langkah proses aman ini secara neutral,” katanya.

Sebelum ini, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dilaporkan akan memudah cara mesyuarat GBC antara Thailand dengan Kemboja di Kuala Lumpur dari 4 hingga 7 Ogos ini. 

Menurut kenyataan Markas Angkatan Tentera Malaysia Bahagian Risikan dan Komunikasi Strategik Pertahanan, mesyuarat GBC itu bertujuan menyelesaikan pertikaian sempadan antara dua negara berkenaan, sebagai sebahagian daripada perjanjian gencatan senjata yang dimeterai di Malaysia pada 28 Julai lalu. 

Mesyuarat itu pada asalnya dijadualkan berlangsung di Phnom Penh pada 4 Ogos tetapi pada 31 Julai lalu, Thailand mengemukakan cadangan supaya ia diadakan di Malaysia sebagai lokasi berkecuali dan tempoh perbincangan dipanjangkan berbanding hanya sehari sebelum ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN