PETALING JAYA: Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi mempersoalkan sikap berdiam diri bekas Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli terhadap pendedahan mengejutkan oleh bekas Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Abdul Rahman Sebli mengenai tekanan dalaman dalam institusi kehakiman.
Menurut Mohd. Puad, jika Rafizi lantang mendesak reformasi melibatkan Jawatankuasa Pelantikan Kehakiman (JAC), beliau sepatutnya juga berani mendesak penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat dakwaan terbaru yang dianggap lebih serius.
“Tekanan rakan sekerja boleh menjadi kuasa besar dalam badan kehakiman dan berpotensi mempengaruhi apa sahaja keputusan serta pentadbiran keadilan. Siapa rakan sekerja itu? Di peringkat mana? Adakah termasuk Ketua Hakim Negara?
“Selama ini semua pihak hanya menuding kepada eksekutif, khususnya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Tetapi kenyataan ini menunjukkan kemungkinan berlakunya campur tangan dari dalam institusi itu sendiri,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam media melaporkan pendedahan Abdul Rahman yang terpaksa berdepan tekanan dalaman semasa berkhidmat sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan sehingga hampir menggugat kebebasannya dalam membuat keputusan.
Beliau mengimbau kembali peristiwa itu ketika berucap dalam majlis perpisahan sempena persaraannya di Kuching, Rabu lalu, yang dihadiri rakan-rakan hakim, pegawai mahkamah dan tetamu kehormat.
Dalam ucapannya, Abdul Rahman turut menyentuh satu episod penting ketika beliau menganggotai panel tujuh hakim dalam satu kes perlembagaan berprofil tinggi pada tahun 2021 yang menurutnya memberi tekanan luar biasa dalam menjalankan tugas kehakiman.
Mohd. Puad turut mempersoalkan sikap membisu beberapa tokoh utama pembangkang serta Majlis Peguam yang dilihat tidak mengulas langsung pendedahan serius itu.
“Kenapa dalam perhimpunan semalam, baik Tun Dr. Mahathir Mohamad, Tan Sri Muhyiddin Yassin mahupun Datuk Seri Hamzah Zainudin, tidak menyentuh langsung perkara ini? Di mana suara Majlis Peguam?
“Ini bukan isu remeh. Ia menyentuh soal keadilan dan integriti sistem kehakiman negara yang menjadi tiang seri dalam pemerintahan berperlembagaan,” katanya.
Katanya, kumpulan reformis dalam kerajaan termasuk ‘Geng 9’ pimpinan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli turut disarankan agar tidak berdiam diri dalam isu ini.
“Kita harap ‘Geng 9’ Rafizi yang berani bercakap soal JAC (Jawatankuasa Pelantikan Kehakiman) turut berani mendesak supaya RCI ditubuhkan dalam isu yang lebih besar ini. Jangan hanya pilih isu yang sesuai dengan agenda tertentu,” katanya. – UTUSAN