BN dicadang pinda perlembagaan, terima 'friends of BN' tanpa syar

BN dicadang pinda perlembagaan, terima ‘friends of BN’ tanpa syarat

MOHD. PUAD ZARKASHI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Barisan Nasional (BN) perlu segera mengadakan mesyuarat dan meminda perlembagaannya bagi memastikan parti baharu dapat diterima masuk tanpa syarat.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr. Mohd Puad Zarkashi, berkata langkah itu penting susulan cadangan Timbalan Presiden MIC, M. Saravanan, agar parti-parti ‘mesra BN’ diterima sebagai parti komponen penuh gabungan berkenaan.

Menurut beliau, antara parti yang dicadangkan termasuk Makkal Sakti, IPF, KIMMA dan MIUP yang telah lama menunggu untuk diterima menyertai BN secara rasmi.

“Baguslah cadangan itu. Diharap BN dapat segera mengadakan mesyuarat dan membuat keputusan supaya semua parti ‘friends of BN’ yang telah lama menunggu dapat diterima masuk tanpa sebarang syarat.

“Peruntukan sedia ada yang mensyaratkan keputusan secara konsensus wajar dipinda kepada keputusan berdasarkan majoriti,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Semalam, akhbar ini melaporkan, Parti Progresif Penduduk (PPP) sah menjadi salah satu parti komponen dalam Barisan Nasional (BN).

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau sudah menerima surat daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) baru-baru ini.

PPP ditubuhkan pada 1953 dan merupakan parti komponen BN sejak 1974.

Perebutan teraju kepimpinan sebelum ini membawa kepada pembatalan pendaftaran PPP dan menyebabkan parti itu terkeluar daripada BN.

Sementara itu, Presiden Makkal Sakti, R. S. Thanenthiran berkata, adalah wajar untuk mempertimbangkan penerimaan parti-parti ‘friends of BN’, termasuklah Makkal Sakti yang telah setia bersama BN hampir 17 tahun.

Beliau berkata, setiap tahun pihaknya telah mengemukakan resolusi untuk diterima sebagai parti komponen BN, namun sehingga kini perkara itu masih belum direalisasikan.

“Pada pandangan kami, the more the merrier. Lebih ramai rakan setia, lebih kukuh BN. Kita juga perlu mengingat kembali bahawa suatu ketika dahulu BN mempunyai lebih daripada 14 parti komponen.

“Oleh itu, penerimaan parti-parti seperti Makkal Sakti, KIMMA dan rakan-rakan lain yang setia selama ini pastinya akan mengukuhkan lagi kedudukan BN,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap agar Mesyuarat Majlis Tertinggi BN pada 21 Januari ini dapat mempertimbangkan penyertaan parti-parti itu demi mengukuhkan lagi BN.

Beliau turut memaklumkan, pihaknya mengambil maklum MIC pada masa ini tidak membantah cadangan berkenaan.

“Maka, kami percaya tidak lagi wujud sebarang bantahan atau halangan untuk parti-parti ‘friends of BN’ diterima sebagai komponen penuh BN,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN