KUALA LUMPUR: Mesyuarat Bulanan Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP semalam memutuskan bahawa Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) perlu ditubuhkan bagi menyiasat dakwaan kewujudan ‘mafia korporat’ yang didakwa menggunakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai alat untuk mencapai kepentingan tertentu.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, kerajaan perlu menangani dakwaan itu secara berkesan bagi mempertahankan kewibawaan SPRM sebagai institusi penguat kuasa antirasuah negara.
“Kami mengambil perhatian serius terhadap dakwaan sebuah media asing berkenaan kewujudan gejala mafia korporat dan institusi SPRM digunakan oleh syarikat tertentu sebagai alat untuk mencapai matlamat kepentingan peribadi.
“Kerajaan perlu menangani isu ini dengan berkesan untuk mempertahankan kewibawaan institusi SPRM melalui penubuhan RCI.
“Tindakan ini penting untuk menyiasat secara menyeluruh dakwaan tersebut dan mencadangkan langkah-langkah untuk mencegah penyalahgunaan kuasa dalam institusi tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Anthony berkata. CEC DAP turut menyatakan kekecewaan terhadap kegagalan Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-undang (RUU) Pindaan Perlembagaan bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun.
Katanya, kerajaan perlu membentangkan semula RUU tersebut dalam sidang akan datang bagi memastikan agenda reformasi institusi dapat direalisasikan.
“Had tempoh jawatan Perdana Menteri merupakan antara reformasi penting yang perlu dilaksanakan bagi memperkukuh sistem demokrasi negara,” katanya.
Beliau berkata, DAP menyatakan sokongan terhadap keputusan kerajaan untuk merujuk RUU Pengasingan Peguam Negara dan Pendakwa Raya kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen.
Ujarnya, pihaknya komited untuk menambah baik aspek akauntabiliti dan ketelusan dalam proses pelantikan kedua-dua jawatan tersebut melalui wakilnya iaitu Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh dan Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan.
“DAP akan terus komited untuk mendukung agenda reformasi institusi dalam kerajaan dan tidak akan berkompromi dalam sebarang bentuk penyalahgunaan kuasa serta menyokong penuh usaha memerangi rasuah,” katanya. – UTUSAN










