PETALING JAYA: PLUS Malaysia Berhad (PLUS) akan melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan secara berperingkat di beberapa lokasi di Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) dan Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (ELITE) bermula hari ini.
PLUS memaklumkan, kerja penyelenggaraan itu melibatkan penutupan lorong, pengaktifan lorong kontra dan lencongan laluan sebagai langkah memastikan keselamatan serta keselesaan pengguna lebuh raya.
Bagi NKVE, penutupan lorong sementara akan dilaksanakan di laluan Damansara-Bukit Lanjan, dari KM19.30 hingga KM20.00 di kedua-dua arah bermula hari ini sehingga 14 Oktober depan.
Penutupan itu berlangsung selama 24 jam sehari, membabitkan kerja penyelenggaraan sistem perparitan dan pengaktifan lencongan di kawasan terbabit.
Sementara itu, di ELITE, kerja penyelenggaraan melibatkan pelancaran rasuk jambatan di laluan Putrajaya-Bandar Saujana Putra dari KM19.5 hingga KM18.0.
“Laluan kontra akan diaktifkan sepanjang tempoh penyelenggaraan tersebut, yang dijadualkan berlangsung selama empat hari bermula Isnin ini, dari pukul 11 malam hingga 5 pagi,” katanya dalam kenyataan.
Pengguna lebuh raya dinasihatkan supaya merancang perjalanan lebih awal sepanjang tempoh kerja-kerja tersebut serta sentiasa mematuhi papan tanda trafik dan arahan petugas PLUS di lokasi.
Maklumat lanjut mengenai kerja penyelenggaraan boleh diperoleh melalui aplikasi PLUS, Pembantu Maya PUTRI, Aplikasi X @plustrafik serta papan tanda elektronik (VMS) di lokasi terpilih.
Orang ramai yang memerlukan bantuan kecemasan boleh menghubungi talian PLUSLine di 1800-88-0000. – UTUSAN










