PLUS ingatkan kenderaan berat patuhi peraturan, had ketinggian

PLUS ingatkan kenderaan berat patuhi peraturan, had ketinggian

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: PLUS Malaysia Berhad (PLUS) mengingatkan semua operator pengangkutan dan pemandu kenderaan berat agar sentiasa mematuhi peraturan keselamatan jalan raya yang telah ditetapkan. 

PLUS berkata, peringatan itu dikeluarkan susulan beberapa insiden membabitkan kenderaan berat yang membawa muatan melebihi had ketinggian.

Menurutnya, insiden sedemikian bukan sahaja menyebabkan kerosakan serius terhadap infrastruktur lebuh raya, malah mengancam keselamatan pengguna lain selain mengakibatkan kesesakan trafik yang ketara.

“Keselamatan pengguna sentiasa menjadi keutamaan PLUS. Sehubungan itu, kami memandang serius sebarang pelanggaran had muatan dan ketinggian.

“Semua syarikat logistik serta pemandu kenderaan berat digesa memastikan dimensi muatan diperiksa dengan teliti sebelum memulakan perjalanan,” katanya dalam kenyataan. 

PLUS turut mengingatkan operator supaya memastikan ketinggian keseluruhan kenderaan bersama muatan tidak melebihi lima meter atau had tertentu yang ditetapkan mengikut laluan dan struktur berkaitan.

“Selain, kenderaan yang membawa muatan luar biasa (oversized cargo) perlu merancang laluan lebih awal serta mendapatkan Permit Pergerakan Khas daripada pihak berkuasa berkaitan sebelum memulakan perjalanan.

“Pemandu juga perlu mematuhi papan tanda had ketinggian di gantri, jejantas atau jejambat termasuk di kawasan plaza tol,” katanya. 

Mengulas lanjut, PLUS berkata, pihaknya tidak bertolak ansur terhadap sebarang kecuaian yang menyebabkan kerosakan kepada harta benda lebuh raya atau membahayakan pengguna, malah tindakan sewajarnya termasuk undang-undang akan diambil terhadap pihak yang bertanggungjawab.

“Kami akan terus bekerjasama rapat dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memperkukuh penguatkuasaan undang-undang lalu lintas di rangkaian lebuh raya. 

“Orang ramai yang melihat pemanduan berbahaya atau kenderaan membawa muatan mencurigakan diminta segera membuat laporan kepada PLUS menerusi PLUSLine atau aplikasi PLUS bagi tindakan lanjut,” katanya.  – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN