PETALING JAYA: PLUS Malaysia Berhad (PLUS) memaklumkan pengaktifan lorong alternatif antara Putrajaya dan Bandar Saujana Putra di KM19.5 hingga KM18.0 Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (ELITE) bermula 17 hingga 20 November ini.
PLUS dalam kenyataan memaklumkan, laluan kontra itu akan dibuka setiap hari bermula pukul 11 malam hingga 5 pagi bagi membolehkan kontraktor pihak ketiga melaksanakan kerja-kerja pemasangan paip air.
“Pengguna lebuh raya disarankan supaya merancang perjalanan sepanjang tempoh tersebut.
“Pengguna juga dinasihatkan supaya mematuhi semua papan tanda trafik serta arahan yang dikeluarkan oleh petugas PLUS ketika melalui kawasan terbabit,” katanya.
Sebarang maklumat trafik terkini boleh diperoleh melalui Aplikasi PLUS, Pembantu Maya PUTRI, akaun X @plustrafik serta papan tanda elektronik (VMS) di lokasi terpilih.
Talian PLUSLine di 1800-88-0000 juga tersedia untuk dihubungi sekiranya pengguna memerlukan bantuan ketika berlaku kecemasan. – UTUSAN










